4,210 Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia
KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) — Sehingga kini kerajaan sudah mewujudkan 4,210 Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia (KTW1M) di seluruh negara menerusi Program Perkhidmatan Penyediaan Sejagat (USP).
[adsenseyu6] |
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata selain itu sebanyak 477 KTW1M dalam proses pemasangan.
“Kementerian yakin jumlah KTW1M sedia ada di semua kampung yang telah dikenal pasti memudahkan rakyat di luar bandar mendapat akses kepada internetjalur lebar,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Chiew Lian Keng pada persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.
Jailani berkata kementerian serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan pelbagai inisiatif merangkumi penyediaan perkhidmatan talian telefon tetap, perkhidmatan jalur lebar komuniti dan perluasan liputan telefon selular awam di bawah Pelan Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI).
Antara projek di bawah NBI ialah pembinaan menara telekomunikasi, Pusat Internet 1Malaysia, Pusat Jalur Lebar Komuniti Kecil, Perpustakaan Jalur Lebar dan KTW1M, katanya.
Menjawab soalan asal Chiew, beliau berkata kadar penembusan jalur lebar telah meningkat daripada 25 peratus pada 2006 kepada 66.6 peratus setakat suku pertama tahun ini.
“Kadar liputan selular berpenduduk pula telah berjaya ditingkatkan dari 82 peratus pada 2008 kepada 96.9 peratus setakat suku pertama tahun ini,” katanya.
Jailani berkata kementerian juga memandang serius aduan berkaitan iklan sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada pengguna telefon selular menerusi kod ringkas seperti 6xxxx, 3xxxx dan 2xxxx dengan menguatkuasakan Standard Mandatori bagi Perkhidmatan Kandungan Mudah Alih.
Katanya hasil daripada inisiatif itu, jumlah aduan menurun sebanyak 88.2 peratus daripada 102 aduan pada enam bulan pertama 2012, kepada 12 sahaja bagi tempoh sama tahun ini.
Menjawab soalan Senator Abdul Shukor Mohd Sultan yang ingin tahu tindakan kementerian dalam menapis kandungan laman web, Jailani berkata sebanyak 6,640 laman web telah disekat kerana melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang bertulis lain sejak 2008 hingga kini. -Bernama