TUNE Hotel, perintis rangkaian hotel bajet kini dalam proses membangunkan reka bentuk baru dan lebih segar kepada 20 rangkaian hotelnya di Malaysia dan luar negara selaras usaha syarikat memenuhi standard global dan piawaian jenama.
[adsenseyu6] |
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Lankester berkata, pihaknya menyasarkan proses reka bentuk baru di semua rangkaian hotelnya itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh antara tiga hingga empat tahun.
Beliau berkata, proses sama turut akan diperkembangkan kepada 30 rangkaian hotel baru termasuk yang bakal dibangunkan di luar negara termasuk di Filipina, Thailand, Indonesia, United Kingdom, Australia, India dan New Zealand dalam tempoh setahun akan datang.
“Reka bentuk baru itu dilihat lebih menarik dan kemas, sekali gus memenuhi standard global yang dikehendaki syarikat.
Tune Hotel Ipoh
“Proses itu juga selaras rancangan syarikat untuk memperkembang rangkaian hotel di luar negara dan ia penting kepada syarikat untuk tampil dengan imej lebih segar dan terkini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan cawangan Tune Hotel di Ipoh, sekali gus menjadi hotel pertama yang mengetengahkan reka bentuk universal dan standard global.
Majlis perasmian disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Dr Ong Hong Peng yang mewakili Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.
Hadir sama Orang Besar Jajahan (OBJ) Kinta, Datuk Seri Dr Abdullah Fadzil Che Wan dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim.
Katanya, piawaian jenama global itu diambil kira daripada idea disumbangkan pelanggan setia Tune Hotel selain bekerjasama dengan pereka berbakat untuk tampil dengan wajah baru itu.
Tune Hotel juga mempunyai cawangan di pusat bandar Kota Bharu, iaitu cawangan pertama hotel berkenaan di Pantai Timur. Kedudukan yang strategik bersebelahan KB Mall & KB Cyber Plaza Kota Bharu.