Selepas menjelajah Gua Musang dan Kok Lanas kelmarin, Piala Malaysia yang dijulang pasukan Kelantan buat pertama kali sejak 89 tahun terus diarak bagi menemui peminat-peminat yang sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap skuad The Red Warriors itu.
Pusat membeli-belah KB Mall menjadi tumpuan ribuan peminat yang ingin melihat dengan lebih dekat lagi piala yang dimenangi The Red Warriors selepas menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam perlawanan Akhir Piala Malaysia.
Selain melihat piala dengan lebih dekat, peminat-peminat juga tidak mahu ketinggalan untuk mendekati pemain-pemain yang berjaya membawa piala itu ke bumi Cik Siti Wan Kembang buat pertama kalinya. KB Mall menjadi lokasi persinggahan kedua selepas Pasaraya Tesco Kota Bharu. Peminat juga tidak melepaskan peluang bergambar dengan Piala tersebut.
Pemain-pemain Kelantan turut hadir menyerikan program namun tanpa kehadiran beberapa pemain utama terdiri daripada Norshahrul Idlan Talaha, penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat dan S Chanturu yang menjalani latihan bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi Sukan Asia di Guangzhou, China.