PUTRAJAYA 20 Feb. – Selepas mencatatkan kehadiran yang membanggakan dalam dua penganjuran majlis Jamuan Minum Petang Perdana Menteri Bersama Rakan-rakan Dalam Talian di sini, Datuk Seri Najib Tun Razak berhasrat untuk memperluaskan pertemuan itu ke seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, usaha tersebut perlu dilakukan bagi membolehkan rakan-rakan dalam talian beliau yang berada di seluruh negara mengambil peluang bertemu dengannya pada majlis seperti itu.

Beliau berkata, ia juga selaras dengan usaha terbarunya untuk meraikan semua rakan-rakan dalam talian melalui program Mari Berjumpa, Mari Berhubung.

“Adalah tidak praktikal pada saya untuk jemput semua ke Putrajaya atau Kuala Lumpur, tetapi saya akan cuba untuk menganjurkan majlis bagi bertemu dengan rakan-rakan dalam talian saya semasa lawatan ke negeri-negeri.

“Ia mungkin dalam bentuk perjumpaan singkat di lapangan terbang negeri semasa saya tiba atau sebelum pulang ke Putrajaya, dan juga melalui pertemuan kecil di dewan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Jamuan Minum Petang Perdana Menteri Bersama Rakan-rakan Dalam Talian di Seri Perdana di sini, hari ini.

Lebih 600 rakan dalam talian beliau hadir di majlis jamuan kali kedua itu dan pada pertemuan kali pertama Mac tahun lalu, ia dihadiri lebih 300 orang.

Setakat ini, beliau mempunyai 560,000 rakan dalam laman sosial, Facebook dan lebih 80,000 orang menjadi rakan twitter.

Najib memberitahu, sejak mengambil alih kepimpinan kerajaan, beliau telah membuat banyak perkara baru dan kreatif dalam usaha mendekatkan dirinya dengan rakyat, termasuklah golongan muda.

Malah, beliau menambah, kerajaan tidak akan menggunakan cara yang konvensional kerana golongan muda sudah berubah dalam berhubung dengan pemimpin mereka.

“Ia penting bagi saya kerana dunia sudah berubah dan masyarakat Malaysia juga berubah dari segi gaya hidup dan cara berkomunikasi.

“Dengan itu, sebagai pemimpin, saya tidak boleh membiarkan ia berlalu dan perlu menjadi sebahagian daripadanya kerana ia akan membolehkan saya mencari lebih ramai rakan di kalangan rakyat,” katanya.

admin
admin

Would you like to share your thoughts?

Your email address will not be published. Required fields are marked *