KOTA BHARU – Gara-gara mengenali teman lelaki menerusi Facebook, seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Agama, di sini, menerima padah apabila mengadu dirogol dua kali di dua rumah berasingan di Pengkalan Chepa dan Jalan Pekeliling di sini, semalam.
Bagaimanapun, lelaki terbabit yang berusia 17 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, ketika dia masih tidur sebaik mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 14 tahun, dibawa ke rumah suspek di Pengkalan Chepa, kira-kira jam 11 malam.
Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa ditarik masuk ke dalam sebuah bilik di rumah suspek dan keadaan itu tidak disedari oleh ibu bapa remaja terbabit kerana dipercayai tidur.
Katanya, mangsa yang juga seorang pelajar tingkatan dua kemudian dirogol oleh remaja terbabit sebelum dibawa pula ke sebuah rumah rakannya di Jalan Pekeliling pada hari sama.
”Ketika berada di rumah tersebut mangsa sekali lagi dirogol oleh kenalannya itu sebelum dihantarnya pulang ke rumah di Panji kira-kira jam 4.30 pagi,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, rahsia tersebut terbongkar apabila ibu bapa mangsa mendapati anaknya pulang lewat ke rumah dan atas desakan mangsa diarah membuat laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, sebaik menerima laporan, polis melakukan serbuan di rumah suspek dan berjaya menahannya untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, siasatan mendapati, mangsa mengenali suspek sejak dua bulan lalu menerusi Facebook.
Beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa telah menerima Pesanan Khidmat Ringkas (SMS) daripada lelaki terbabit untuk mengajaknya keluar makan.
Katanya, sebaik selesai makan, mangsa dibawa ke rumah suspek dengan motosikal sebelum bertindak merogol mangsa.
Menurutnya, suspek yang juga seorang pelajar tingkatan lima kini ditahan di lokap IPD untuk siasatan lanjut.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
“Ibu bapa dinasihatkan awasi pergaulan anak-anak termasuk memantau Facebook mereka,” katanya -sinar harian