KUALA LUMPUR: Laman sosial Facebook, Twitter dan blog hiburan mendakwa stesen radio MUZIKfm akan ditutup dan digantikan dengan saluran radio baru yang dinamakan Nasional FM berkonsepkan informasi, forum dan bual bicara berkuat kuasa 1 November ini.

muzikfm

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada pengumuman dilakukan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, walaupun berita penutupan radio MUZIKfm sudah tersebar sejak awal bulan ini. Pegawai atasan dan penyampai radio MUZIKfm juga tidak berani membuka mulut mengesahkan kesahihan berita berkenaan.

Sumber mendakwa, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengarahkan stesen radio MUZIKfm ditutup bagi mewujudkan Nasional FM yang lebih menekankan aspek penyebaran maklumat berbanding hiburan.

Bagaimanapun, sumber mendakwa, ia mendapat tentangan pendengar apabila berita penutupan mula tersebar. Laman sosial seperti Facebook, Twitter dan blog hiburan heboh memperkatakan isu penutupan radio yang akan mengurangkan elemen hiburan menyebabkan pihak kementerian terpaksa mengambil sikap mendiamkan diri.

Sumber mendakwa, konsep baru radio yang bakal menggantikan stesen radio MUZIKfm iaitu bual bicara, informasi, forum sebanyak 60 peratus dan selebihnya 40 peratus adalah hiburan.

Bagaimanapun, kata sumber, sebahagian pegawai dan penyampai radio MUZIKfm masih dikekalkan, manakala sebahagiannya akan ditukarkan ke tempat lain. Penyerahan surat jawatan akan diberikan Rabu depan.

Menurut sumber, pihak kementerian memilih MUZIKfm kerana radio berkenaan antara lima radio terbaik di negara ini. Tiada rangkaian radio nasional RTM, khususnya saluran berbahasa Melayu yang berada pada kedudukan lima pilihan pendengar. Stesen yang menggunakan tagline Stesen Muzik Anda mengekalkan rekod cemerlang apabila mempunyai 1.25 juta pendengar seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Muzik FM ditubuhkan pada 1975 menggunakan nama FM Stereo, ia muncul stesen radio pertama di negara ini yang memberikan perkhidmatan dalam bentuk stereofonik kepada rakyat Malaysia. Bagi mengikuti perkembangan semasa, nama FM Stereo ditukarkan kepada Radio 2, sekali gus menjadi stesen radio berkenaan cukup berpengaruh.

Ketika itu, pendengarnya melebihi tiga juta pendengar. Dalam usaha memantapkan radio berkenaan, pada 1 Ogos 1994, sekali lagi stesen berkenaan melakar sejarah apabila menukarkan nama kepada Radio Muzik yang bersiaran 24 jam sehari. Ia ke udara menggunakan dua bahasa, Melayu dan Inggeris. Akhirnya, Radio Muzik bertukar lagi kepada Muzik FM pada 1 April 2005, sempena penjenamaan semula stesen radio RTM.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, ketika ditemui pemberita enggan mengulas mengenai penutupan stesen radio berkenaan. -bharian

admin
admin

Would you like to share your thoughts?