Sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Malaysia dijangka berkembang 12 peratus sepanjang tahun ini, menunjukkan pertumbuhan pesat industri tersebut selari dengan kemajuan teknologi di negara ini.
[adsenseyu6] | ![]() |
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom), Shaifubahrim Saleh berkata, tahun lalu sahaja, sektor ICT telah berkembang pesat dengan mencatatkan perolehan sebanyak RM57 bilion.
“Jika ini berterusan, transaksi perdagangan akan mencapai RM100 bilion menjelang 2015 iaitu lima peratus daripada pertumbuhan negara,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan ICT tempatan berbanding 20 tahun lalu.
Menurutnya, rekod menunjukkan perkembangan ICT tempatan sudah maju dan menjadi penyumbang utama negara di antara sektor perkhidmatan dan industri lain seperti pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan pembuatan.
Katanya, jika dibandingkan dengan negara luar, Malaysia adalah yang paling maju di Asean dan mungkin termaju di antara negara Islam dari aspek kemudahan ICT.
“Bagaimanapun, cabaran utama dalam sektor ini adalah kekurangan tenaga mahir dalam bidang sains komputer. Terdapat penurunan 50 peratus dalam pemilihan bidang ini oleh pelajar di institut pengajian tinggi awam dan swasta serta kekurangan dana untuk penyelidikan dan pembangunan,” katanya.
Mengulas berhubung penglibatan Pikom di luar negara, Shaifubahrim berkata, bulan lalu, Pikom telah menganjurkan pameran komputer dan telefon bimbit serta Persidangan Antarabangsa Mobile Social Commerce di Kemboja.
“Kami turut merancang untuk ke Myanmar dan Indonesia diikuti negara-negara lain di Asean pada masa akan datang.
“Selain itu, Pikom turut terlibat menganjurkan acara seperti Sidang Kemuncak Kepimpinan Pikom (PLS) dan Sidang Kemuncak Asia Pasific Outsourcing (APOS) Oktober ini,” katanya.
Pikom turut melaburkan RM13 juta untuk membeli bangunan sendiri yang dijangka akan siap sepenuhnya awal September ini di Damansara Perdana.
Pikom yang mewakili 1,400 syarikat ICT telah menganjurkan pameran komputer Pikom PC Fair selama 16 tahun dan mengadakan pameran tiga kali setahun di Kuala Lumpur dan dua kali setahun di bandar-bandar utama lain. – sinarharian