TOK BALI – “Saya tak dapat membayangkan betapa gembira dan terharu apabila bertemu semula dengan rakan-rakan sekolah selepas berpisah selama 27 tahun, ia menggamit nostalgia ketika sama-sama belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK Kamil),” demikian luahan seorang alumni sekolah tersebut yang menghadiri Majlis Aidilfitri Kamilian SPM ’84 di sini, kelmarin.

Zaid Md Yasin, 44, berkata, program julung kali diadakan itu memberi kesan mendalam serta mengukuhkan semula persahabatan yang terjalin sepanjang tempoh lima tahun belajar di SMK Kamil.

Menurutnya, pertemuan beberapa rakan di laman sosial Facebook beberapa bulan lalu membolehkan bekas pelajar berinteraksi semula dan menubuhkan kelab Kamilian ‘84.

“Beberapa pertemuan dibuat antara mereka yang bekerja di Lembah Kelang dan hari ini, mereka dihimpunkan dalam majlis yang cukup bersejarah kerana sebahagian besarnya berpisah sebaik sahaja menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1984.

“Kita berjaya menghimpunkan hampir 50 rakan dan kami bercadang untuk mengesan ramai lagi rakan untuk menyertai perjumpaan besar-besaran tahun hadapan,” katanya juga pengarah program.

Majlis di Sweet Beach Resort itu dimulakan dengan bacaan doa selamat dan al-Fatihah untuk beberapa rakan yang sudah meninggal dunia.

Seorang lagi jawatankuasa program, Ismadi Mohamad Taib berkata, dia bersyukur kerana berkesempatan bertemu semula rakan yang suatu ketika dahulu akrab.

Menurutnya, pertemuan lebih tiga jam itu dianggap detik manis dan paling bersejarah dalam hidupnya selepas membawa haluan sendiri.

“Saya berharap dapat berhimpun sekali lagi dalam tempoh beberapa bulan lagi dengan setiap rakan membawa anggota keluarga masing-masing kerana kita mahu dilihat sebagai keluarga besar,” katanya.

admin
admin

Would you like to share your thoughts?

Your email address will not be published. Required fields are marked *