FACEBOOK mungkin membenarkan kakitangannya menjual pegangan saham masing-masing dalam syarikat itu bernilai sehingga AS$1 bilion pada harga yang akan meletakkan nilai penyedia rangkaian sosial itu pada AS$60 bilion.

Mengikut laporan berita teknologi laman web All Things Digital, minat mendalam yang ditunjukkan pelabur institusi mendorong Facebook menimbang membenarkan kakitangannya menjual saham mereka dalam syarikat swasta yang berpangkalan di California itu.

Langkah itu bermakna Facebook kini percaya nilainya sudah melonjak 20 peratus sejak bulan lalu, apabila ia menjana AS$1.5 bilion daripada satu tawaran saham yang dibuatnya kepada pelabur persendirian terpilih, yang sekali gus menetapkan nilainya pada kira-kira AS$50 bilion.
Harga daripada kemungkinan penjualan saham oleh kakitangan itu akan memberikan syarikat itu penilaian lebih tinggi berbanding syarikat gergasi lain seperti Boeing atau Time Warner.

Bagaimanapun, pendapatan tahunannya, yang sebahagian besarnya diraih daripada pengiklanan, dianggarkan sebanyak AS$2 bilion, jauh lebih kecil berbanding Boeing AS$64.62 bilion dan Time Warner AS$26.5 bilion.

Facebook berkemungkinan membenarkan kakitangannya menjual pegangan masing-masing bagi meraih keuntungan daripada kejayaan laman web itu ketika ia menimbang kemungkinan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) bagi tujuan penyenaraiannya di bursa saham.

Pengasas bersama Facebook, Mark Zuckerberg, yang dikatakan menguasai seperempat saham syarikat itu, sebelum ini menolak desakan supaya beliau menyegerakan IPO itu. – AFP

admin
admin

Would you like to share your thoughts?

Your email address will not be published. Required fields are marked *