JASIN 2 Mac – Empat hari menjelang pengundian, calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Roslan Ahmad hari ini melancarkan akaun Facebook peribadi dalam usahanya mendekati masyarakat.
Roslan, 44, yang sentiasa diiringi isteri Zalifah Omar yakin menerusi cara itu masyarakat setempat dapat meluahkan aduan terhadap sebarang permasalahan kepada beliau dengan pantas.
“Saya melancarkan Facebook untuk membolehkan pengunjung rakan-rakan Facebook yang berminat mengetahui aktiviti sepanjang tempoh berkempen terutama golongan belia yang aktif menggunakan media baru itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan laman sosial yang menggunakan nama akaun ”Roslan Ahmad” serta bersarapan pagi bersama kira-kira 20 wakil media di kediamannya di Jalan Batu Gajah, di sini.
– Bernama