TELEKOM Malaysia Bhd (TM) menawarkan tambah nilai kepada hampir 500,000 pelanggan perusahaan kecil dan sederhananya (PKS) apabila memeterai perjanjian kerjasama dengan Interbase Resources Sdn Bhd (Lelong.my) untuk menawarkan penambahan ‘Web Store’ Lelong.my di dalam MarketingTool TM.
![]() |
[adsenseyu7] |
Naib Presiden Eksekutif TM (PKS), Azizi A Hadi berkata, Web Store Lelong.my menyediakan penyelesaian e-dagang standard antarabangsa yang membantu usahawan meningkat ke peringkat lebih tinggi tanpa sebarang perkakasan atau pengetahuan teknikal.
Web Store
“Menerusi kerjasama ini, Web Store ditawarkan sebagai sebahagian daripada pelbagai perkhidmatan percuma yang didatangkan dengan aplikasi MarketingTool TM.
“Usahawan PKS boleh menubuhkan gedung web mereka dalam masa beberapa minit, dengan ciri-ciri untuk menguruskan inventori dalam talian, jualan, invois, mengoptimumkan enjin carian, ‘shopping cart’, gerbang bayaran dalam talian dan banyak lagi,” katanya pada sidang media selepas memeterai perjanjian berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.
Dalam majlis pemeteraian itu Azizi mewakili TM, manakala Lelong.my diwakili Pengarah Urusannya, Richard Tan. Mengulas lanjut, Azizi berkata, dengan pengenalan Web Store Lelong.my, pihaknya mengunjurkan memperoleh 5,000 PKS baru yang menggunakan aplikasi MarketingTool TM bagi tempoh 12 bulan akan datang, berbanding 2,000 ketika ini.
Sementara itu, Tan berkata, pihaknya menyasar untuk meningkatkan jumlah urus niaga jualan sebanyak sekali ganda tahun depan berbanding purata tahunan antara RM200 juta dan RM250 juta ketika ini. “Kami yakin dapat mencapai sasaran ini dengan didorong antaranya kerjasama yang dijalin dengan TM,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan e-dagang berkembang dengan pesat dalam tempoh dua tahun apabila kaji selidik oleh Paypal baru-baru ini menyasar nilai e-dagang sebanyak RM1.9 bilion pada 2011 meningkat kepada RM3.5 bilion pada 2015 bagi Malaysia. -hmetro