KOTA BHARU – Wanita kesunyian di negeri ini, termasuk suri rumah, guru dan pelajar dikesan paling ramai menjadi mangsa penipuan sindiket yang kononnya mengirim bungkusan hadiah berharga dari luar negara kerana golongan itu didapati mudah terpedaya.

Dengan menggunakan modus operandi yang sama, polis Kelantan merekodkan 14 kes membabitkan kerugian berjumlah RM260,950 dikesan daripada jenis penipuan kiriman bungkusan hadiah itu bagi tempoh Januari hingga 18 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya menasihatkan golongan wanita di negeri ini supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan itu yang mencari mangsa melalui e-mel dalam Internet dan rakan sembang atau chat.

“Kami mengesan kebanyakan mangsa golongan wanita kesunyian yang banyak menghabiskan masa melayari Internet berkenalan dengan suspek melalui e-mel lalu mulai chat sebelum semakin mesra.

“Apabila mendapati mangsa mudah diperdaya, suspek kemudian menawarkan untuk menghadiahkan pelbagai barangan berharga seperti beg, jam, barang kemas yang berharga lebih RM100,000 kepada mangsa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa yang percaya dengan tawaran suspek akan menerima tawaran itu lalu suspek menggunakan khidmat rakyat tempatan untuk menghubungi mangsa memaklumkan barangan itu sudah tiba di lapangan terbang.

Bagaimanapun, katanya, bungkusan mengandungi barangan mahal kiriman suspek itu tidak boleh diambil kerana mangsa perlu menjelaskan cukai Kastam terlebih dahulu.

Mazlan berkata, oleh kerana terlalu inginkan bungkusan hadiah itu mangsa bersetuju untuk memasukkan sejumlah wang yang diminta suspek dalam akaun yang diberikan dan apabila ingin mendapatkan bungkusan itu baru mangsa menyedari ditipu.

“Sebenarnya bungkusan hadiah dari luar negara itu langsung tidak wujud dan mangsa diperdaya sindiket berkenaan yang menggunakan rakyat tempatan sebagai rakan mereka untuk memperdaya mangsa-mangsa di negeri ini.

“Masyarakat negeri ini dinasihatkan supaya berhati-hati ketika berkenalan dengan individu tidak dikenali ketika chat bagi mengelak menjadi mangsa penipuan jenis ini,” katanya.

admin
admin

Would you like to share your thoughts?

Your email address will not be published. Required fields are marked *