KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dijangka mencatatkan perolehan RM100 juta hasil perjanjian perlesenan selama lima tahun dengan Nexus Protocol Ltd untuk memasarkan empat produk berasaskan teknologi maklumat (IT) di Eropah.
[adsenseyu6] | ![]() |
Naib Canselornya, Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang berkata perjanjian itu, yang ditandatangani pada 12 Disember, tahun lepas, akan memberi tumpuan untuk memasarkan perisian-perisian berkenaan kepada pelanggan institusi dan individu.
“Kita telah kenal pasti Nexus Protocol sebagai rakan usaha sama untuk membangunkan kerjasama pintar dalam mengkomersilkan produk-produk IT UTM di luar Malaysia terutamanya di Eropah,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media di cawangan UTM Kuala Lumpur di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Nexus Protocol Hamidi Rahman.
Zaini berkata UTM akan memanfaatkan pengalaman Nexus Protocol yang berpangkalan di Oxford, London, dan jaringan perniagaannya di Eropah dan Asia Tengah untuk memberi lebih pendedahan kepada produk-produk hasil penyelidikan universiti berkenaan pada peringkat antarabangsa.
Nexus Protocol pasar 20 produk IT
Menerusi perjanjian tersebut, katanya Nexus Protocol akan memasarkan 20 produk berasaskan IT secara berperingkat-peringkat dengan pemilihan empat perisian sebagai permulaan.
Katanya empat produk yang terlibat ialah “MyLine Online Resources for Learning in English,” “Laboratory Information Management System,” “Human Resource Management Information System” dan “Wastewater Treatment Plan Design Advisor.”
Beliau berkata dua produk lagi akan diperkenalkan pada tahun ini, iaitu “Thalassemia Disease Mortality Prediction” dan Sistem Tebatan Banjir. Katanya perisian-perisian berkenaan ada antaranya sudah digunakan secara meluas di dalam negara dan mempunyai potensi untuk dipasarkan pada peringkat global tetapi tidak mampu untuk direalisasikan oleh UTM secara sendirian kerana keupayaan yang terhad.
Nexus Protokol, yang dilantik sebagai wakil jualan universiti di luar negara, juga akan bertindak untuk menasihati dan memudahkan universiti dalam meningkatkan daya saing produk pada peringkat global., katanya. Zaini berkata usaha pengkomersilan dengan Nexus Protocol berkenaan dimulakan oleh Pusat Inovasi dan Pengkomersilan UTM, sebuah unit yang bertanggung jawab menjaga dan memasarkan harta intelektual universiti itu, yang kini dianggarkan mempunyai lebih kurang 2,800 paten.
Perjanjian berkenaan adalah yang kedua bagi UTM selepas menandatangani perjanjian yang sama dengan Stanford Research Institute International yang berpangkalan di Lembah Silikon, California, untuk memasarkan produk UTM ke Amerika Syarikat, Jepun dan China, katanya. – Bernama