SURUHANJAYA Syarikat Malaysia (SSM) Kedah menyasarkan peningkatan lima peratus pada jumlah syarikat yang mendaftar dengannya.
[adsenseyu6] |
Pengarah SSM, Abu Hassan Kasim berkata, sehingga Ogos lepas sebanyak 10,408 syarikat telah berdaftar dengan agensi itu.
“Menjelang hujung tahun ini kita jangka jumlah syarikat didaftarkan melebihi angka tahun lepas iaitu 18,113 syarikat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, SSM menggalakkan peniaga mendaftar perniagaan mereka dengan agensi itu supaya dapat menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan.
SSM menyediakan kaunter bergerak yang menjelajah seluruh negeri bagi memudahkan peniaga mendaftarkan peniagaan mereka, kata Abu Hassan.
Sementara itu, anggota jawatankuasa Biro Wanita Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) cawangan Kedah, Noraniza Mohd Adanal berkata pihaknya menganjurkan kempen dua hari bermula hari ini untuk menarik kira-kira 100 peniaga wanita mendaftar perniagaan mereka dengan SSM.
“Usaha ini sejajar dengan seruan kerajaan negeri Kedah ingin melahirkan 500 usahawan wanita Kedah setahun. Hari ini sahaja kami telah menarik 50 peniaga wanita mendaftarkan perniagaan mereka,” katanya ketika ditemui pejabat SSM di Wisma Perkeso, di sini.
Katanya, program julung kali itu menyasarkan wanita berumur 18 hingga 40 tahun terutama usahawan mikro. – Bernama