USAHAWAN Bumiputera dan tempatan disaran contohi budaya dan nilai positif orang Jepun untuk maju dan berjaya.

Klik untuk besarkan gambar
[adsenseyu6] usahawan bumiputera

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antara faktor menentukan kejayaan dan kemajuan individu adalah sikap rajin, berdisiplin, bersungguh-sungguh dan komited dalam mengerjakan sesuatu pekerjaan, iaitu faktor utama kejayaan Jepun hari ini.

“Masyarakat Jepun terkenal dengan sikap rajin dan apabila melakukan sesuatu pekerjaan, mereka bersungguh-sungguh. Kerana itu mereka maju dalam pelbagai aspek. Orang yang gagal adalah disebabkan tiada kesungguhan untuk memperbaiki taraf hidup.

“Menerapkan disiplin yang tinggi dalam diri juga penting. Budaya di Malaysia, ada orang yang suka menerima tips (bayaran upah) dan mereka bangga dengan pemberian tersebut.

“Tetapi tidak bagi masyarakat Jepun. Mereka menolak pemberian tips untuk menjaga maruah. Inilah perkara pokok yang perlu ada dalam Dasar Pandang ke Timur,” katanya semasa Program Bicara
Petang anjuran bersama SME Corporation Malaysia dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di Subang Jaya, baru-baru ini.

Pada majlis itu, kira-kira 300 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hadir untuk berkongsi idea bersama Dr Mahathir dengan tema Dasar Pandang ke Timur – Gelombang Kedua: Realiti Baru, Cabaran dan Peluang untuk PKS Tempatan.

Dasar Pandang ke Timur bukan hanya ekonomi

Menurut Dr Mahathir, Dasar Pandang ke Timur bukan mengikuti pertumbuhan ekonomi Jepun semata-mata tetapi juga penerapan nilai murni sejak kecil.

“Kenapa kita perlu belajar dari Jepun? Kerana sistem latihan mereka bermula sejak kecil, semasa di bangku sekolah. Saya yakin, ini adalah cara terbaik untuk majukan diri dan bersaing dengan negara lain seperti China.

“Namun Bumiputera akan terus ketinggalan jauh ke belakang jika terus mewarisi sikap negatif daripada nenek moyang terdahulu atau masih berpegang kepada dasar lapuk yang tidak membina keperibadian,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, mengambil sikap positif masyarakat Jepun sebagai contoh tidak bermakna rakyat Malaysia perlu menolak sama sekali sebarang ajaran yang baik dari negara Barat.

“Tetapi jika terlalu terpengaruh dengan budaya Barat yang mahukan kebebasan dan kesamarataan, sukar untuk kita berjaya,” katanya.

Pada Julai lalu, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe semasa lawatannya ke Malaysia bersetuju hubungan dua hala diperkukuh melalui Gelombang Kedua Dasar Pandang ke Timur, selepas 30 tahun pengenalannya.

Dasar Pandang ke Timur yang dilancarkan pada 8 Februari 1982 adalah buah fikiran Dr Mahathir untuk menggalakkan pemodenan dalam negara dengan mengadakan kerjasama serta mengambil budaya positif di negara Asia yang maju.

Sejak dasar itu diperkenalkan, Malaysia meraih banyak manfaat terutama dalam pembangunan ekonomi, perdagangan dan pembangunan modal insan.

Antara kejayaan menerusi dasar ini adalah projek kereta nasional Proton Saga yang mula dikeluarkan pada 1985. -sinarharian

admin
admin

Would you like to share your thoughts?

Your email address will not be published. Required fields are marked *