TANPA mempertaruhkan barisan pelakon terkenal, pementasan muzikal teater Upin dan Ipin bakal melakar sejarah tersendiri kerana menjadi teater pertama yang dipentaskan di negara ini sebanyak 30 persembahan tanpa henti dalam tempoh 22 hari.
| [adsenseyu6] | ![]() |
Siri Upin dan Ipin The Musical yang membabitkan kos hampir RM3 juta juga berjaya menghimpunkan serta mencungkil bakat hampir 70 pelakon kanak-kanak dan remaja untuk diketengahkan, sekali gus menampilkan beberapa elemen baru dalam mencipta sejarah teater tempatan.
Penerbit Eksekutifnya, Siti Rohayah Attan berkata, sepanjang pengetahuannya, belum ada teater yang dipentaskan tanpa henti sebanyak 30 persembahan setakat ini. Kalau ada pun teater yang dipentaskan mungkin sebanyak 28 persembahan saja, tetapi mereka ‘bercuti’ pada Isnin atau Ahad.
Katanya, perkara ini tidak pernah dilakukan kerana pihak produksi pasti bimbang pelakon akan keletihan atau mengalami masalah kesihatan sehingga boleh mengganggu kelancaran pementasan.

“Bagi mengatasi perkara ini, kami mengambil keputusan membentuk dua kumpulan bagi memegang watak utama. Mereka akan mengadakan persembahan secara berganti di mana setiap kumpulan me?ngadakan 15 persembahan.
“Lebih menarik, pihak kami memilih pelakon yang berbilang kaum seperti konsep cerita karakter adik-beradik kembar siri animasi popular, Upin dan Ipin yang asal,” katanya.
Ditanya kenapa berani mengetengahkan barisan pelakon baru termasuk pelajar Aswara, kata Siti Rohayah, buat masa ini, pihaknya percaya pementasan muzikal itu tidak memerlukan pelakon popular sebagai tarikan komersial kepada penonton.
Upin dan Ipin cetuskan fenomena luar biasa
Ia kerana Upin dan Ipin sendiri adalah produk Malaysia yang sudah berjaya mencetuskan fenomena luar biasa serta mempunyai pengikutnya sendiri termasuk di luar negara.
“Jika ada keperluan dan permintaan daripada peminat sendiri, kami bersedia mempertimbangkan untuk menampilkan artis popular sebagai pelakon undangan dalam teater ini nanti,” katanya.
Kata Siti Rohayah, barisan pelakon muzikal Upin dan Ipin sudah giat menjalani latihan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sejak sebulan yang lalu.
“Walaupun pementasan ini masih jauh lagi, kami melihat tempoh lima bulan lagi itu terlalu singkat bagi produksi Les Copaque Production Sdn. Bhd dan CTRA Production untuk merealisasikannya seperti direncanakan.
“Menariknya, pemilihan dua kumpulan pelakon membabit?kan kumpulan kanak-kanak berusia dari sembilan hingga 13 tahun. Manakala, kumpulan kedua adalah pelakon remaja yang membawakan watak kanak-kanak. Watak yang akan ‘berganda’ ialah Upin, Ipin, Jarjit, Mei Mei, Fizi, Ehsan, Mail, Susanti dan Ijat,” katanya.
Kata Siti Rohayah lagi, konsep ‘under studies’ yang diamalkan sesetengah produksi yang mengadakan persembahan panjang tidak sesuai diamalkan kerana ia akan mengecewakan pelakon yang tidak dapat beraksi sedangkan mereka menjalani latihan yang lama.
“Sekalipun pihak kami melabur kos yang tinggi bagi menjayakan pementasan muzikal ini tapi kepuasan dan stamina pelakon menjadi keutamaan kepada produksi.
“Pementasan ini mendapatkan khidmat Zaifri Husin sebagai Pengarah dan Penulis Skrip, Datuk Suhaimi Mohd Zain sebagai Pengarah Muzik serta A.Aris Kadir sebagai koreografer,” katanya.
Menyentuh jualan tiket setakat ini, kata Siti Rohayah, ia sudah mula mendapat sambutan dari peminat teater tempatan kerana ia dijual pada harga murah dan berpatutan.
Bagaimanapun, seperti penerbit teater lain, Siti Rohayah mengakui jualan tiket saja tidak mampu membiayai kos keseluruhan pementasan berkenaan.
“Sehubungan itu, pihak kami berharap ada syarikat korporat atau mereka yang berminat di luar sana untuk menaja atau membeli tiket secara pukal untuk tampil bersama-sama mencipta sejarah bagi produk kebanggaan Malaysia ini,” katanya.
Upin dan Ipin The Musical menceritakan perjalanan Upin, Ipin dan kawan-kawan yang mahu menggembirakan Puteri Cinonit. Ini kerana Puteri Cinonit yang ketiadaan ibu bapa hidup dalam kemurungan dan cemburu dengan kegembiraan Upin dan Ipin.
Semasa perjalanan ke dunia lain, Upin dan Ipin dibawa ke angkasa lepas, ke tengah lautan dan hutan belantara.
Upin & Ipin The Musical bakal dipentaskan di IB, Kuala Lumpur bermula 14 April hingga 6 Mei tahun depan. Keterangan lanjut mengenai pementasan ini boleh layari www.ticket2u.biz atau facebook Upin & Ipin the Musical.
Kepada peminat siri Upin & Ipin, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan pementasan muzikal ini nanti. Peminat juga boleh menjayakan showcase Upin & Ipin The Musical lebih awal apabila kumpulan ini mengadakan persembahan di Karnival Jejak Upin & Ipin di Muzium Negara mulai 25 November hingga 30 Disember ini.
