KUALA LUMPUR 10 Nov. – Kerajaan wajar menggubal undang-undang baharu bagi mengawal serta menapis isi kandungan dalam internet dan menghentikan akses kepada laman web yang tidak bermanfaat.

Klik untuk besarkan gambar
[adsenseyu6] undang-undang ict

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, meskipun beliau sebelum ini tidak bersetuju kandungan internet ditapis, namun peningkatan jumlah kes jenayah ketika ini memerlukan kerajaan mengambil langkah tersebut segera.

Menurutnya, lambakan kandungan internet yang menjurus kepada pornografi, penyebaran fitnah dan berita palsu telah memusnahkan nilai-nilai moral baik dalam kalangan generasi muda.

“Walaupun kerajaan sudah berjanji tidak akan menapis internet tetapi perjanjian itu dibuat sebelum internet berkembang luas. Hari ini, kita dapati media sosial mudah disalah guna dan menyumbang kepada bertambahnya jenayah termasuk melibatkan kes rogol dan bunuh,” katanya.

Beliau berucap selepas dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Pengurusan Komunikasi dan Teknologi dalam Istiadat Majlis Konvokesyen Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ke-16 di sini hari ini.

Tambah Dr. Mahathir, walaupun langkah yang bakal diambil itu tidak selari dengan kebebasan bersuara serta hak asasi manusia, namun perlu dilakukan demi keamanan negara.

Menurut beliau, kebebasan tanpa had hanya akan merosakkan masyarakat disebabkan terlalu mudah mengakses maklumat serta mempelajari sesuatu terutama berkaitan jenayah melalui internet.

Katanya, negara-negara maju bukan sahaja sudah mula diancam kebebasan internet malah segala rahsia kerajaan termasuk urusan pertahanan negara serta ketenteraan turut dibocorkan.

“Walaupun ada pihak bersetuju dan menerima baik pendedahan tersebut, namun jika tidak dibanteras tindakan penyebaran maklumat secara terbuka akan mengeruhkan politik dalaman serta hubungan antara negara luar akan menjadi tegang selain kestabilan dan sekuriti negara turut terancam.

“Itu tidak termasuk penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara meluas bagi melakukan intipan oleh kerajaan ke atas rakyat. Perkara itu jelas membuktikan hak kebebasan dan hak asasi rakyat tidak lagi terjamin,” katanya.

Namun, tambah beliau, jika ICT digunakan secara berhemah dan pada landasan betul teknologi tersebut boleh menjadi senjata penyelamat kepada rakyat dan negara. -utusan

admin
admin

Would you like to share your thoughts?

Your email address will not be published. Required fields are marked *