BACHOK – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyasarkan 10 hingga 15 peratus daripada 2,300 penuntut yang sedang mengikuti pengajian di Fakulti Teknolog Kreatif dan Warisan, menjadi usahawan atau bekerja di sektor swasta selepas tamat pengajian.
Naib Canselor UMK, Datuk Dr Mortaza Mohamed berkata, bagi tujuan itu, mahasiswa diberi pendedahan agar lebih berminat bekerja sendiri atau dalam sektor industri.
“Lonjakan besar perlu dilakukan kerana rata-rata graduan kita sekarang masih lagi berhasrat untuk bekerja dengan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Keusahawanan Kreatif 2015 di kampus UMK di sini, hari ini.
Katanya bidang Teknoloji Kreatif dan Warisan menawarkan potensi besar pada masa kini dan hadapan yang akan memberi kelebihan untuk bersaing dalam ekonomi berskala besar di dalam dan luar negara.
Graduan bidang itu perlu berusaha merebut peluang yang ada untuk mewujudkan bidang keusahawanan sendiri sehingga dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada orang lain, katanya. – Bernama