U Mobile Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan mudah alih dan rumusan data 3G tempatan, melancarkan pakej baru yang disasarkan khusus kepada pengguna perniagaan.
[adsenseyu6] | ![]() |
Pakej baru itu diperkenalkan menerusi kerjasamanya dengan Acer Malaysia dan Intel Malaysia. Ia menawarkan gabungan antara pelan jalur lebarnya dengan komputer Acer M3 Ultrabook dan tablet Acer Iconia Tab W501 pada harga yang kompetitif.
Ketua Eksekutifnya, Jaffa Sany Ariffin, berkata kerjasama itu menjadikan U Mobile sebagai syarikat telekomunikasi tempatan pertama menawarkan perkhidmatan seumpama itu. Katanya, langkah berkenaan akan memberi manfaat kepada pengguna yang mementingkan kepantasan dalam penyambungan.
“Inisiatif ini adalah selaras dengan usaha berterusan syarikat untuk memperkayakan produk dan perkhidmatan bagi menampung keperluan pengguna.
U Mobile mahu tingkatkan penggunaan ICT
“Ia juga membantu merealisasikan agenda kerajaan untuk meningkatkan perhubungan, kesedaran dalam ICT dan mempromosikan penggunaan komputer kepada penduduk Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran pakej itu di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Pengurus Besar Acer Malaysia, Ricky Tan dan Pengarah Negara Intel Malaysia, Prakash Mallya.
Jaffa Sany berkata, pihaknya akan menyediakan enam kiosk percuma di kedai mereka bagi memberi peluang kepada pelanggan untuk mencuba pengalaman menggunakan Ultrabook yang diperkasakan dengan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi U Mobile.
Katanya, kiosk itu akan didirikan di pusat beli belah Berjaya Times Square dan Pikom IT Mall di Kuala Lumpur; 1Utama dan Sunway Pyramid (Selangor); Queensbay Mall di Pulau Pinang dan Taman Molek Johor Bahru di Johor.
Syarikat itu juga katanya, turut merancang untuk membuka lebih banyak kiosk sedemikian di premis U Mobile yang lain supaya lebih ramai pengguna berpeluang merasai sendiri pengalaman menggunakan Ultrabook itu.
Pakej baru u Mobile
Bagi pakej membabitkan Acer Ultrabook, pengguna boleh mendapatkannya pada harga RM2,699 apabila melanggan pelan jalur lebar U Mobile MB68 yang menawarkan kapasiti data sebanyak 5 gigabait (GB) dan penjimatan sehingga RM408.
Bagi pelan jalur lebar MB128, Ultrabook itu dijual pada harga RM2,799 dengan kapasiti 20 GB dan penjimatan RM668.
Untuk pakej tablet pula, bagi pelan MB68, ia dijual pada harga RM1,899 dan pelan MB128, ditawarkan pada harga 1,999 dengan semua pakej didatangkan dengan akses internet selama enam bulan. -bharian