Kuala Lumpur: Sistem perolehan kerajaan secara dalam talian, ePerolehan, mencatatkan lebih 1.5 juta transaksi dengan nilai melebihi RM60 bilion sejak aplikasi itu dilancarkan pada 1999.
[adsenseyu6] | ![]() |
Ketua Penolong Pengarah Unit ePerolehan Kementerian Kewangan, Wan Azwar Zaihan Wan Ahmad berkata, kerajaan juga berjaya menjimatkan sehingga RM27 juta setakat 2012 melalui modul e-bidding ePerolehan yang berasaskan bidaan terbalik membabitkan pembekal membida sesama mereka untuk memberikan harga terendah untuk produk atau perkhidmatan diperlukan kerajaan.
“Transformasi yang kita lakukan dari proses secara manual kepada dalam talian adalah anjakan yang besar kepada perolehan kerajaan,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, melalui sistem ePerolehan, pembekal boleh mempamerkan produk mereka dalam jaringan yang boleh diakses di mana saja selain memudahkan agensi kerajaan membuat pembelian barangan.
Melihat kepada kejayaan sistem ePerolehan, satu sistem baru turut dibangunkan yang dipanggil ‘NextGen ePerolehan’ yang akan digunakan mulai Januari 2015.
“Selepas 12 tahun, kita rasa, adalah masa yang tepat untuk menggantikan sistem ePerolehan sedia ada dan sistem baru ini direka untuk memberi nilai tambah kepada penggunanya dengan menyokong program transformasi kerajaan ke arah sistem yang lebih efisien,” katanya.
Wan Azwar Zaihan berkata, perubahan yang dilakukan kepada sistem ePerolehan adalah seiring dengan perubahan teknologi yang pantas dan keperluan pengguna yang sentiasa berubah.
“Kita perlu memenuhi keperluan mereka sebab itu kita fikirkan sekarang kita perlu bangunkan sistem baru yang lebih baik untuk menggantikan sistem sedia ada.
“Ini kerana sistem sedia ada lebih bersifat operasi manakala sistem baru akan bersifat perolehan yang lebih strategik,” katanya. -BERNAMA
Portal Rasmi ePerolehan
Laman Web Rasmi Sistem ePerolehan boleh diakses melalui URL www.eperolehan.gov.my