TELEKOM Malaysia Bhd (TM) mengunjurkan perolehan sehingga RM5 juta hasil kerjasama strategik dengan syarikat pembekal platform awan, Akamai bagi mengatur cara Netstorage di seluruh rangkaiannya.
Netstorage ialah perkhidmatan terurus yang selamat dan kos efektif ditawarkan Akamai untuk menyimpan data dalam jumlah besar berkeupayaan melindungi kegagalan secara automatik, kandungan sokongan dan sambungan kepada pelbagai pembekal perkhidmatan internet. Selain itu, ia membantu memantau trafik rangkaian secara bijak serta mengelakkan kesesakan dan muatan melampau secara automatik. Naib Presiden Eksekutif TM Global, Rozaimy Abd Rahman berkata, Netstorage bakal ditempatkan di Pusat Data TM di Cyberjaya dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini dan sasaran nilai terbabit diletakkan selepas ia dilaksanakan kelak.
“Dengan rangkaian antarabangsa berasakan Protokol Internet (IP) yang meluas, TM mampu menawarkannya bukan saja kepada pelanggan tempatan malah pelanggan serantaunya turut dapat menikmati kemudahan itu menerusi sambungan Pusat Kehadiran (Point of Presence (POP)).
“Kerjasama itu membolehkan pengguna TM menikmati sambungan Internet dan pengalaman melayarinya dipertingkat kerana sumber kandungan di simpan di sini yang memberi prestasi rangkaian secara menyeluruh,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian (MoU) bersama Akamai di Kuala Lumpur, semalam.