Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) mempertingkat akses Internet dan penyampaian kandungan serantaunya menerusi perjanjian dengan Level 3 Communications, syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat yang menyediakan perkhidmatan komunikasi global.
| [adsenseyu6] | ![]() |
Naib Presiden Eksekutif, Global & Pukal TM, Rozaimy Rahman berkata, Malaysia ialah pasaran yang kian berkembang dan pelanggan TM terus mahukan perkhidmatan Internet yang lebih baik bagi menyokong keperluan perniagaan dan perseorangan. “Oleh itu, kerja sama dengan Level 3 juga akan dapat membantu mempertingkatkan pengalaman layaran Internet kepada pelanggan TM dan juga bakal mengurangkan kos penggunaan kapasiti antarabangsa syarikat.
“Selain memperkayakan laluan rangkaian TM, usaha terbaru bersama Level 3 juga selari dengan aspirasi kumpulan TM untuk menjadi Pusat Data dan Maklumat dan juga hab komunikasi data serantau,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Menurutnya, kerjasama berkenaan akan menyediakan perkhidmatan Internet setempat yang akan membolehkan TM menyimpan kandungan permintaan tinggi setempat di rangkaiannya yang akan mempertingkatkan lagi sambungan Internet, kecekapan rangkaian, kebolehpercayaan dan keselamatan.
Pelanggan enterpris dan konsumer TM juga dapat menikmati kandungan permintaan tinggi yang memerlukan lebar jalur intensif seperti video berdefinisi tinggi, kandungan tersedia online daripada perkhidmatan Internet tempatan disediakan oleh Level 3 bagi mempertingkatkan lagi sambungan Internet dan kecekapan rangkaian. -hmetro
