Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) bersedia melancarkan perkhidmatan jalur lebar mudah alih LTE pertama mereka selepas mengambil alih pegangan saham terbesar syarikat 4G, Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1).
| [adsenseyu6] | ![]() |
Pengambilalihan terbabit menyaksikan TM memegang 57 peratus saham P1 membabitkan nilai kira-kira RM350 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, langkah itu adalah selari dengan visi TM untuk menjadi pusat pertukaran data dan maklumat serta memperkukuhkan kedudukan sebagai peneraju jalur lebar.
Jalur lebar mudah alih TM
“Ia juga persediaan syarikat dalam memperkenalkan jalur lebar mudah alih tidak lama lagi,” katanya kepada Bisnes Metro pada majlis menandatangani perjanjian dengan P1 yang diwakili Puan Chan Cheong selaku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Green Packet.
Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi TM Datuk Seri Dr Halim Shafie, Pengerusi Green Packet Tan Sri Dr Omar Abdul Rahman serta Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Pertumbuhan (CGO) SK Telecom Jung Ho Park.
Selain itu, TM turut bekerjasama dengan syarikat Korea, SK Telecom yang menyumbangkan kepakaran teknikal dan strategik berdasarkan pengalaman pengendali mudah alih nombor satu di Korea Selatan dalam salah satu pasaran LTE termaju di dunia.
Rangka kerja usahasama itu akan menyaksikan setiap pihak menyumbangkan kelebihan unik masing-masing kepada P1 bagi menawarkan pelanggan perkhidmatan data tanpa wayar berkualiti tinggi dengan pengalaman pelanggan yang lebih baik secara keseluruhannya.
TM akan menambah pelaburan berjumlah sehingga RM210 juta ke dalam Green Packet menerusi bon boleh tebus yang baru dikeluarkan dan ia berkemungkinan boleh diubah menjadi kepentingan Green Packet dalam P1 pada masa akan datang.
Sementara itu, Puan berkata, kemasukan TM sebagai pemegang saham strategik bersama P1 dan SK Telecom petanda positif dalam sektor telekomunikasi.
Perjanjian ini akan mewujudkan rangka kerja usahasama buat ketiga-tiga pihak bagi berkongsi milikan dan berkolaborasi untuk pertumbuhan masa hadapan.
P1 akan mengguna pakai aset spektrumnya, platform tanpa wayar dan rangkaiannya di hampir 2,000 lokasi serta pengurusan yang berpengalaman bagi mempercepatkan kemasukannya ke pasaran LTE.
Park pula berkata, pelancaran rangkaian LTE di Malaysia akan membawa pengalaman dan nilai dipertingkatkan kepada pelanggan di Malaysia menerusi pelbagai perkhidmatan yang baru dan inovatif dengan memanfaatkan kelebihan rangkaian berkelajuan tinggi.
