Telekom Malaysia Berhad (TM) melancarkan TM SME BizFiesta 2014 yang memasuki penganjuran pada tahun kedua bertujuan menyediakan platform kepada pelanggan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) bagi meneroka dan mengalami bagaimana tawaran TM dapat mempertingkatkan perniagaan masing-masing.
[adsenseyu6] |
Pengurus Besar SMEnya, Mohamad Yusman Ammeran berkata perniagaan lebih mudah buat pelanggan PKS apabila memanfaatkan penyelesaian teknologi dan komunikasi maklumat (ICT) TM yang komprehensif dan berharap mereka akan mengambil peluang itu untuk menggunakan sepenuhnya produk, perkhidmatan dan penyelesaian TM untuk meningkatkan kapasiti serta melonjakkan lagi tahap produktiviti.
“Kami amat komited untuk melonjakkan PKS ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai dan meningkatkan kelebihan daya saing PKS di peringkat tempatan dan antarabangsa menerusi penyelesaian ICT TM yang pelbagai dan komprehensif, namun lebih fokus dan mampu milik.
“Dengan persaingan sengit dalam industri, TM mempunyai pelbagai penawaran yang direka khusus untuk perniagaan PKS daripada pasaran Pejabat Kecil, Rumah Pejabat (SOHO) hingga kepada perusahaan.
Produk kami bertumpu kepada penggunaan, harga, lokasi demografik, perkhidmatan dengan nilai tambah dan lain-lain dengan mengambil kira keperluan dan kehendak pelanggan,” katanya pada majlis pelancaran TM SME BizFiesta 2014 di sini, baru-baru ini.
Ia menyaksikan acara terbabit akan diadakan selama tiga hari di 67 premis khidmat pelanggan TM yang terdiri daripada 54 TMpoint dan 13 TMpoint Authorised Dealer (TAD).
Sepanjang tiga hari terbabit, TM akan membuka kaunter untuk khidmat nasihat dan demonstrasi produk serta pameran peranti oleh rakan-rakan penyelesaian PKS TM yang turut menawarkan produk dan penyelesaian pada harga rendah.
Beliau berkata, PKS boleh mendapatkan nasihat berkaitan pengurusan kewangan dan perniagaan daripada agensi yang mengambil bahagian dan akan membuka kaunter masing-masing semasa acara itu dianjurkan.
“Dengan fokus tahun ini adalah untuk meningkatkan penerimaan ICT, TM turut membawakan rakan-rakan industri dan ekosistem yang terkenal untuk acara ini seperti Microsoft, Acer, Lelong.my, Teledynamics, Eminent Display, Soyotech dan Malaysia SME,” katanya.
Sebagai tarikan tambahan, pelanggan bertuah yang melanggan produk TM sepanjang tiga hari ini akan turut menerima cenderahati eksklusif daripada TM.
TM SME BizFiesta 2014 akan terus dianjurkan di seluruh negara sehingga Oktober 2014 dan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh melayari www.tm.com.my/sme. -hmetro