GREEN Packet Berhad P1 tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan pembekal perkhidmatan rangkaian 4G lain seperti YTL Communications Sdn Bhd (YTL) YES bagi menyediakan akses terbaik kepada pengguna.
[adsenseyu6] | ![]() |
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Puan Chan Cheong berkata, syarikatnya tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan mana-mana syarikat yang berhasrat memajukan industri jalur lebar di Malaysia.
“Kami sangat dinamik dan mempunyai bukti mampu bekerjasama dengan syarikat lain seperti TM dalam menyediakan perkhidmatan kepada pengguna walaupun kita bersaing sesama sendiri,” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya, semalam.
Green Packet memiliki penyedia perkhidmatan Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd P1 manakala YTL memperkenalkan jenama Yes 4G mereka tidak lama dulu.
Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan desas-desus yang mengatakan syarikatnya bakal bergabung dengan YTL tidak lama lagi.
“Belum ada rancangan untuk bergabung dengan YTL, cuma kita boleh bekerjasama bagi memajukan industri disebabkan populasi di negara ini tidaklah terlalu besar.
“Terdapat empat pemain industri berkaitan 4G di negara ini dan kemungkinan penggabungan itu ada, malah saya boleh katakan tidak mustahil untuk kami bergabung,” katanya.
Puan memaklumkan, syarikatnya sentiasa terbuka menerima sebarang kemungkinan yang mengukuhkan nilai pemegang saham seterusnya menawarkan produk baik kepada pengguna.
“Kami sangat terbuka untuk meninjau sebarang perkongsian perniagaan yang sesuai dengan visi kami,” kata Puan.
Sementara itu, YTL ketika dihubungi Bisnes Metro enggan mengulas mengenai spekulasi terbabit.
“Setakat ini, saya boleh katakan tiada perbincangan dan sebagainya berlaku antara YTL dan Green Packet,” katanya.