TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd memperkenalkan perkhidmatan membeli-belah dalam talian Grocery Home Shopping (GHS) bagi memudahkan pelanggannya membeli barang keperluan hanya menggunakan internet.
[adsenseyu6] | ![]() |
Perkhidmatan itu memberi kebebasan kepada pelanggan untuk memilih barangan diperlukan di laman web Tesco sebelum ia dihantar ke kediaman pembeli, dengan pembayaran dibuat menggunakan kad kredit atau debit selepas barangan diterima.
Untuk permulaan, rangkaian pasar besar itu akan menawarkan khidmat GHS kepada pelanggan dalam lingkungan 20 kilometer dari Tesco Mutiara Damansara. Pengarah GHS, John Lee berkata, beliau yakin GHS akan mendapat sambutan menggalakkan memandangkan Tesco berpengalaman menawarkan perkhidmatan sama di luar negara.
Trend membeli-belah secara online
“Pengenalan GHS sesuai dengan trend terkini masyarakat di seluruh dunia termasuk di Malaysia yang menggunakan teknologi untuk urusan harian termasuk membeli-belah secara online. “GHS bukan sahaja mempelbagaikan saluran peruncitan Tesco, malah memberi kemudahan kepada orang ramai yang tidak mempunyai masa untuk membeli-belah di premis kami,” katanya pada majlis pelancaran GHS di Damansara, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Georg Fischer berkata, Tesco menggunakan 150 pekerja baru yang dilantik khas untuk perkhidmatan itu bagi memberi perkhidmatan berkualiti. Tesco turut menyasar untuk meluaskan kawasan perkhidmatan GHS di Lembah Klang dalam beberapa bulan akan datang.