SYARIKAT teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan, Terato Tech Sdn Bhd (Terato) berjaya menyusup ke Lembah Silikon di San Francisco, Amerika Syarikat dalam usahanya mengembangkan operasi syarikat ke negara berkenaan.
| [adsenseyu6] | ![]() |
Ia sekali gus menjadikan Terato sebaris dengan syarikat antarabangsa yang bertapak di hab ICT dunia itu seperti facebook, Intel, Google, Twitter, Yahoo!, eBay dan banyak lagi. Pengarah Urusannya, Reza Razali berkata, pihaknya berbangga dapat membawa masuk nama Malaysia di persada antarabangsa terutama berkaitan industri pembangunan aplikasi.
“Antara tujuan utama kami bertapak di sana adalah disebabkan pembangunan dan pelancaran beberapa produk yang lebih fokus kepada pengguna di Amerika Syarikat. “Ia juga termasuk satu daripada langkah yang penting untuk mengglobalkan syarikat kami,” kata Reza yang berusia 28 tahun. Katanya, Terato bakal menumpukan operasi pemasaran di pejabat baru dalam usaha menaikkan jenama produk dan syarikat.
“Lembah Silikon penting sebagai hab IT dunia membolehkan kami berinteraksi dan berjumpa dengan syarikat besar seperti Google, Zynga dan EA selain pusat syarikat pemula yang menarik dan kreatif,” katanya. Menurut Reza, corak operasi pantas di lembah itu mengubah pemikiran staf syarikatnya untuk bersaing walaupun baru sebulan berada di sana untuk memulakan operasi.
Lembah Silikon mengenakan syarat ketat untuk organisasi membuka pejabat dengan mementingkan kaedah pemasaran dan pemikiran sebelum membolehkan mereka beroperasi di sana.
Pembangunan Aplikasi Terato Tech
Mengulas mengenai masa depan pembangun aplikasi di negara ini, Reza memaklumkan ia bakal berkembang 100 peratus tahun ini, sekali gus membuka peluang kepada generasi muda memanfaatkan kreativiti mereka.
“Industri aplikasi sangat melangkaui sempadan, jadi tiada masalah jika anda berada di Malaysia, tapi menghasilkan aplikasi global. “Masalah sekarang ialah jika anda membangunkan aplikasi mudah alih tempatan, model perniagaannya berbeza kerana jumlah inventori pengiklanannya belum cukup banyak dan kos bagi setiap seribu impresi (CPM) pun rendah,” katanya.
Oleh itu, Reza menyarankan syarikat mencari idea inovatif dan mencari model perniagaan yang sesuai serta memanfaatkan idea yang relevan di peringkat global. -hmetro
