Petaling Jaya: Media Prima Digital (MPD), cabang digital di bawah konglomerat Media Prima Berhad (Media Prima) dengan kerjasama Senheng Electric (KL) Sdn Bhd menawarkan peranti pintar berasaskan Android percuma dengan langganan akhbar digital milik The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) selama dua tahun.
[adsenseyu6] | ![]() |
Kempen berkenaan turut menawarkan diskaun 25 peratus atau 10 peratus untuk langganan setahun bagi mana-mana akhbar digital NSTP dengan pembelian sebarang gajet pintar menerusi pakej harga tertentu dari cawangan Senheng dan SenQ.
Malah, setiap langganan untuk akhbar digital boleh digunakan ke atas lima gajet pintar berbeza dalam satu akaun.
Tawaran khusus untuk ahli PlusOne
Ketua Pegawai Eksekutif MPD, Datuk Zainul Ariffin berkata, kerjasama berkenaan dijangka dapat memberi manfaat kepada pelanggan kedua-dua syarikat melalui tawaran istimewa yang disediakan khususnya bagi ahli PlusOne.
“Kami yakin kerjasama ini dapat mewujudkan pengalaman terbaik buat pelanggan melalui penggunaan gajet pintar yang ditawarkan pada harga rendah.
“Kami percaya kerjasama ini juga dapat menarik minat lebih ramai pelanggan untuk menggunakan akhbar digital,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MPD dengan Senheng, semalam.
Kempen berkenaan yang bermula semalam sehingga 30 April ini menyaksikan kedua-dua syarikat menjalin kerjasama dalam usaha meluaskan capaian akhbar digital milik NSTP iaitu New Straits Times (NST), Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM).
Sementara itu, Pengarah Urusan Senheng, Lim Kim Heng berkata, pihaknya menjangkakan kempen berkenaan akan menyumbang 10 peratus kepada peningkatan jualan gajet pintar yang ditawarkan di 135 cawangannya di seluruh Malaysia.
“Setakat ini, kami mencatatkan jualan sehingga RM30 juta sebulan bagi produk dalam kategori gajet pintar dan kami yakin kerjasama yang dijalin dengan MPD dapat membantu melonjakkan jualan,” katanya. Setakat ini, terdapat 1.8 juta pemegang kad keahlian PlusOne.