KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, memandang berat dan dukacita terhadap tindakan pihak tertentu di negeri ini yang ‘mengurniakan’ darjah kebesaran kepada individu dengan sewenang-wenangnya.

sultan muhammad v

Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan, Datuk Sukri Mohamed berkata, kegiatan jual anugerah itu dilakukan sebuah pertubuhan yang mengurniakan pelbagai anugerah, termasuk gelaran ‘Datuk’ kepada individu di dalam dan luar Kelantan.

Beliau berkata, pertubuhan itu dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan, pada 10 Januari lalu, memberikan ‘darjah kebesaran Kelantan’ kepada 120 penerima, mulai tahun lalu.

“Saya difahamkan untuk mendapatkan gelaran ada penerima sanggup membayar sehingga RM150,000 dan pertubuhan itu mengadakan majlis penganugerahan di sebuah hotel di sini,” katanya pada sidang media di Istana Balai Besar di sini, semalam.

Hadir sama, Pengelola Istana Diraja, Datuk Ahmad Mahmood dan Ketua Istiadat, Datuk Abdul Halim Hamad.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan pertubuhan terbabit mengurniakan lebih 100 anugerah kebesaran dalam satu majlis di sebuah bangunan di Pasir Mas.

Sukri yang juga Ahli Majlis Perajaan Negeri (MPN) berkata, mengikut perkara 43 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kelantan, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia, pangkal segala kemuliaan dan kebesaran serta mengadakan pangkat kemuliaan, pingat kebesaran dan kehormatan.

“Selain Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, sesiapa saja yang mengurniakan darjah kebesaran ini maka pihak ini adalah melanggar Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan dan menderhaka kepada Sultan Kelantan. Perbuatan itu juga melanggar undang-undang negara,” katanya.

Menurutnya, pihak Istana Kelantan membuat tiga laporan polis, satu di balai polis Pasir Mas dan dua di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri, Jumaat lalu, dan difahamkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut mengambil tindakan terhadap pihak terbabit.:

Pada sidang akhbar sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, polis mengambil ketera-ngan daripada mereka yang terbabit pada majlis penganugerahan darjah berkenaan.

admin
admin

Would you like to share your thoughts?

Your email address will not be published. Required fields are marked *