Selepas empat tahun bertapak di negeri ini, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mencipta sejarah tersendiri apabila melahirkan graduan sulungnya seramai 269 orang termasuk tiga graduan sarjana dalam Majlis Konvokesyen Pertama UMK yang diadakan pada 19 September 2011 di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan.

Bersempena majlis tersebut, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V turut dimasyhurkan sebagai Canselor UMK yang baru menggantikan ayahanda baginda, Tuanku Ismail Petra.

Sementara Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra pula diisytiharkan sebagai Pro-Canselor UMK.

Watikah pemasyhuran dan pelantikan itu diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam upacara penuh adat istiadat majlis konvokesyen itu yang diadakan di Hotel Grand Riverview di sini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Naib Canselor UMK, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Zainai Mohamed dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah.

Upacara penganugerahan ijazah pada majlis konvokesyen itu disempurnakan oleh Tengku Muhammad Fa-iz.

Pada majlis itu, Abdullah dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan (Pembangunan Modal Insan) atas sumbangan besar beliau ketika menjadi Perdana Menteri dan peranan yang dimainkan ketika awal penubuhan UMK.

Zainai dalam ucapannya berkata, majlis konvokesyen itu merupakan kejayaan besar UMK dalam melahirkan golongan intelektual memandangkan ia baharu ditubuhkan pada Julai 2007 dan bermula daripada beberapa bangunan rumah kedai yang disewa.

“Ingin saya ingatkan kembali pada hari pertama anda berada di UMK bermula dengan asrama di atas rumah kedai, bilik dan sokongan pembelajaran yang sangat terhad.

“Kini, empat tahun sudah berlalu dan saya percaya anda sendiri boleh menilai perubahan yang telah berlalu serta anda juga boleh menilai tahap keberkesanan pembelajaran semasa di kampus,” katanya.

admin
admin

1 Comment

  1. Pelantikan Yang diPertuan Agong ke-14 berkuat kuasa 13 Disember - ejoeSolutions
    16/10/2011

    […] Muhammad V, 42, pula dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010. Canselor Universiti Malaysia Kelantan itu diputerakan di Kota Bharu, Kelantan pada 6 Oktober 1969. – BERNAMA […]

Would you like to share your thoughts?

Your email address will not be published. Required fields are marked *