KOTA BHARU – Seramai 400 sukarelawan Expo Perdagangan Antarabangsa Cheng Ho 2010 yang akan berlangsung minggu depan sudah bersedia bagi memastikan perjalanan lancar ekspo berkenaan.

Mohd Nazrin Faiz Che Abd Aziz, 21, berkata, beliau akan mempraktikkan kefasihannya berkomunikasi dalam bahasa Cina bagi membantu pedagang-pedagang dari China yang bertandang ke negeri itu.

“Kami kumpulan sukarelawan menyahut seruan pengerusi, Datuk Husam Musa untuk menyampaikan mesej dan imej yang baik kepada tetamu kita nanti.

“Kami juga sentiasa berada di lokasi ekspo dari 21 hingga 26 November untuk memberi perkhidmatan terbaik bagi membantu memberikan keselesaan sepanjang mereka berada di Kelantan,” katanya selepas menyertai kursus peringkat kedua di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan, di sini, semalam.

Sukarelawan, Soon Xue Ning, 23, pula berkata, usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri Kelantan seharusnya dipuji kerana ia dapat membantu menjana ekonomi negeri itu agar maju seiring negara China.

“Saya sangat berbangga apabila negara China dipilih untuk menyertai ekspo kali ini, ekspo ini juga memberi peluang kepada mengasah dan menajamkan lagi skil komunikasi serta perkhidmatan kepada pelancong,” katanya.

Sementara itu, sukarelawan dari negara China, Yusuf Daud, 21, penuntut tahun akhir Pengajian Bahasa Arab di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), di sini, seronok terpilih sebagai sukarelawan ekspo berkenaan.

– Sinar Harian

admin
admin

Would you like to share your thoughts?

Your email address will not be published. Required fields are marked *