KUCHING – Telekom Malaysia Bhd (TM), yang membawa jerayawara “Kehidupan Menjadi Lebih Mudah” kepada penduduk Sarawak, kini mempunyai lebih 123 ribu pelanggan jalur lebar di negeri itu. Mereka menggunakan kira-kira 62 peratus kapasiti jalur lebar yang ada di negeri itu.
| [adsenseyu6] | ![]() |
Pengurus besar TM Sarawak Sarbinin Hamdan hari ini berkata, perkhidmatan utama jalur lebar berkelajuan tinggi syarikat itu, UniFi, kini boleh didapati di enam kawasan di Kuching, termasuk Petra Jaya dan Tabuan Jaya, di Bintulu, Lutong, Miri dan Sibu, kesemuanya meliputi 19,511 premis.
Jalur lebar mengubah kehidupan
“Jerayawara ini diharap meningkatkan kesedaran bagaimana jalur lebar boleh menambah nilai dan mengubah kehidupan,” katanya mengenai kempen terbaharu TM itu.
Kempen itu bermula di sini Jumaat lepas dan akan berterusan hingga 22 Disember ini dan akan membuat beberapa hentian di pusat-pusat membeli-belah utama di Sarawak.
Di setiap hentian, kempen itu akan menampilkan tawaran terbaharu daripada TM, yang selain daripada UniFi, termasuk perkhidmatan tiga penjuru iaitu telefon, internet berkelajuan tinggi dan televisyen protokol internet (IPTV) HyppTV. – Bernama
