Samsung Electronics Co, Ltd (Samsung) bukan saja mempamerkan teknologi terkini, tetapi rekaan dalam bentuk dan warna yang menarik selaras dengan gaya hidup pengguna pada pameran perdagangan produk elektronik pengguna IFA 2013 di Berlin, Jerman, minggu lalu.

Klik untuk besarkan gambar
[adsenseyu6] galaxy-note3-note-iii-launch-malaysia

Mengambil kesempatan ke atas pameran elektronik terbesar di Eropah itu, konglomerat terbesar Korea itu menampilkan pelbagai teknologi dan produk inovatif untuk tatapan umum dan bakal memasuki pasaran dalam masa terdekat.

Dalam kategori komunikasi mudah alih, Samsung memperkenalkan tiga produk baru termasuk jam pintar Galaxy Gear, telefon pintar Galaxy Note 3 dan tablet Note 10.1 edisi 2014.

Sementara itu, beberapa produk perkakasan rumah juga diperkenalkan seperti vakum Motion Sync SC20F70 serta televisyen ultra definisi tinggi (UHD).

Galaxy Gear dan Note 3 akan dilancar di 149 negara bermula 25 September dan ketiga-tiga produk ini boleh didapati pada Oktober.

Samsung Galaxy Gear

Samsung mempamerkan jam pintar dengan fungsi yang berlainan daripada beberapa jenama lain yang pernah diperkenalkan sebelum ini dengan pelancaran Galaxy Gear.

Ketua Eksekutif dan Presiden Bahagian IT dan Mudah Alih Samsung, JK Chin berkata, Galaxy Gear dapat merapatkan teknologi telefon bimbit dan dunia fesyen sebagai teknologi pengkomputeran mudah dipakai.

“Galaxy Gear adalah integrasi teknologi peranti pintar ke dalam kehidupan pengguna yang lebih mendalam,” katanya. “Ia memberi apa yang kami panggil ‘smart freedom’ iaitu membolehkan pengguna memilih cara, masa dan tempat teknologi itu digunakan.” katanya.

Seperti jam pintar jenama lain, Galaxy Gear boleh memaparkan notifikasi seperti e-mel, maklumat panggilan, masa dan sebagainya daripada telefon pintar. Bagaimanapun, dengan ciri Smart Relay, maklumat penuh dapat terus dipaparkan pada telefon pintar selepas mendapat notifikasi pada Galaxy Gear.

Sementara ciri S Voice pula membolehkan arahan suara diberi untuk membuat panggilan, menghantar pesanan, dan sebagainya. Galaxy Gear juga boleh diguna untuk membuat atau menerima panggilan tanpa mengeluarkan telefon dari poket atau beg.

Pengguna hanya perlu mengangkat tangan berhampiran telinga iaitu aksi sama seperti menggunakan telefon bimbit biasa. Peng­guna juga boleh mendail nombor terus daripada skrin Galaxy Gear.

Antara ciri yang unik bagi Galaxy Gear adalah kamera 1.9 megapiksel yang terletak pada tali jam. Ciri yang dipanggil Memographer ini membolehkan pengguna merakam gambar dan video dengan cepat, manakala Voice Memo dapat merakam pesanan suara atau perbualan lain menggunakan Galaxy Gear.

Untuk keselamatan, ciri Auto Lock akan ‘mengunci’ telefon pintar jika Galaxy Gear terletak pada jarak lebih 1.5 meter daripadanya. Beberapa aplikasi khas juga boleh dipindah turun ke dalam Galaxy Gear untuk menambah kehebatan ciri dan ciri penggunaannya.

Galaxy Gear dijangka dilancar pada 25 September nanti dan boleh didapati dalam enam warna. Ia boleh diguna bersama telefon pintar Note 3 dan Galaxy S4 serta Galaxy S III dan Note II dengan pening­katan sistem operasi.

Galaxy Note 3

Samsung juga memperkenalkan Galaxy Note baru yang dipanggil kesinambungan evolusi oleh Chin. “Ia menyampaikan pengalaman baru dari segi reka bentuk yang lebih nipis dan ringan dengan skrin lebih besar, tetapi tampak lebih kompak. Ia lebih berkuasa dan bateri tahan lebih lama,” katanya.

“Rekaannya lebih cantik dan ia memberi pengalaman yang lebih baik daripada semua segi.” Buat pertama kalinya, Note 3 mempunyai belakang yang bertekstur dan ia boleh didapati dalam warna hitam, putih dan merah jambu.

Fungsi S Pen diperkasakan dengan kemampuan berbilang tugasan yang lebih canggih. Menurut Pasukan Pemasaran di Samsung, David Park, fungsi S Pen adalah ‘kunci’ yang dapat membuka ciri-ciri Note 3. “S Pen mempunyai lebih banyak fungsi, bukan saja untuk menulis atau melukis,” katanya.

Apabila S Pen disentuh pada skrin dan butang ditekan, satu menu dengan pilihan lima tugasan khas dipaparkan yang membolehkan pengguna menulis nombor telefon atau alamat untuk membuat panggilan, disimpan dalam telefon, menghantar e-mel atau mencari pada peta; membulatkan maklumat untuk disimpan atau melukis kotak untuk membuka aplikasi tertentu.

S Note juga dikemaskini dan lebih intuitif dan senang disusun. Ia juga lebih senang untuk menulis maklumat. Note 3 juga mempunyai ‘multiwindow’ yang lebih baik di mana aplikasi sama boleh dibuka dalam dua tetingkap berasingan.

Penambahbaikan lain termasuk peningkatan kuasa bateri kepada 3200 mAh supaya Note 3 tahan lebih lama. Contohnya, video boleh dimain empat jam lebih lama, iaitu peningkatan kira-kira 40 peratus, kata Park.

Galaxy Note 10.1 Edisi 2014

Menurut Park, Galaxy Note 10.1 edisi 2014 mempunyai teknologi yang sama seperti Note 3. Bagaimanapun, ia kini hanya 7.9 milimeter tebal dan versi WiFi hanya 535 gram berat iaitu pengurangan besar berbanding sebelum ini.

Ia juga mempunyai paparan WQXGA dengan resolusi 2560 x 1600 iaitu ultra definisi tinggi. Ia juga kini mempunyai tetingkap berbilang pandangan baru yang berfungsi sama seperti Note 3. “Beberapa aplikasi baru juga direka yang dapat diguna khas bersama S Pen baru,” katanya.

Perkakasan rumah

Bagi mempamerkan perkakasan rumah baru di IFA 2013, Samsung mendirikan Premium House dengan kerjasama pereka perabot, B&B Italia dan Arclinea. Kawasan seluas 272 meter persegi itu dibahagikan kepada ruang tamu, ruang makan, dapur dan tempat membasuh baju yang dileng­kapi pelbagai perkakasan terkini Samsung.

Ia diguna untuk mempamerkan bagaimana perkakasan dan persekitaran rumah dapat bersepadu antara satu sama lain. Antara produk yang didapati di sini termasuk vakum tanpa beg Motion Sync SC20F70 yang mempunyai sistem kawalan pada pemegang serta penderia yang dapat mengesan kawasan yang perlu dibersihkan.

Samsung mencipta vakum ini supaya pengguna tidak memerlukan tenaga yang banyak untuk menggunakannya. Badan vakum ini dapat memusing secara ber­asingan daripada rodanya untuk memudahkan pergerakan.

Rodanya pula lebih besar daripada biasa dan ini membolehkan ia bergerak melalui bonggol dengan senang. Roda berkembar yang unik memastikan vakum stabil dan tidak mudah terbalik.

Sementara itu, teknologi CycloneForce Multi mempunyai 14 ruang untuk mengasingkan habuk dan serpihan sekali gus mengelak penapis daripada tersumbat dan memastikan sedutan yang kuat dan tahan lebih lama.

Di kawasan pameran pula, Samsung menunjukkan televisyen UHD dalam beberapa saiz. Televisyen ini memaparkan lebih lapan juta piksel untuk menunjukkan butiran terperinci. Ia mengguna resolusi sebenar untuk mempamerkan gambaran yang tampak benar-benar hidup.

Imejnya juga lebih tajam, gambar lebih cerah dan kontras lebih baik. Televisyen 55-inci, 65-inci dan 85-inci serta vakum Motion Sync dijangka dilancar pada suku keempat tahun ini.

SPESIFIKASI

Samsung Galaxy Gear
Prosesor: 800 MHz
Paparan: 1.63 inch Super AMOLED (320 x 320)
Rangkaian: Bluetooth v4.0 + BLE
Penderia: Akselerometer, Giroskop
Memori: 4GB + 512 MB (RAM)
Saiz: 36.8 x 56.6 x 11.1 mm
Berat: 73.8g
Bateri: Li-ion 315mAh

Galaxy Note 3
Rangkaian: 2.5G (GSM/ GPRS/ EDGE): 850 / 900 / 1800 / 1900 MHz, 3G (HSPA+ 42Mbps): 850 / 900 / 1900 / 2100 MHz, 4G (LTE Cat 4 150/50Mbps)
Prosesor: 2.3 GHz Quad-Core (LTE) / 1.9 GHz Octa Core (3G)
Paparan: 5.7-inci Full HD Super AMOLED (1920 x 1080)
OS: Android 4.3 (Jelly Bean)
Memori: 32/ 64 + microSD (sehingga 64GB), 3GB RAM
Saiz: 151.2 x 79.2 x 8.3mm
Berat: 168g
Bateri: Li-ion 3,200 mAh

Galaxy Note 10.1 Edisi 2014
Rangkaian: CAT4 800/850/900/1800/2100/2600, HSPA+ 42Mbps 850/900/1900/2100, HSUPA 5.76Mbps, HSPA+ 21Mbps 850/900/1900/2100, HSUPA 5.76Mbps
Prosesor: 1.9GHz Octa-core (3G), 2.3GHz Quad-core (LTE)
Paparan: 10.1-inci WQXGA (2560 X 1600) Super clear LCD
OS: Android 4.3 (Jelly Bean)Kamera: 8 Megapiksel (utama), 2 megapiksel (depan)
Memori: 3GB RAM, 16/32/64GB (dalaman), microSD (sehingga 64GB)
Saiz: 243.1 X 171.4 X 7.9mm
Berat: 535g (versi WiFi)
Bateri: Li-ion 8,220mAh

Vakum Motion Sync SC20F70
Kuasa: 2000W
Sedutan: 360W
Muatan: 2 Liter
Bunyi: Maximum 79dBA
Wayar: 9 meter
Warna: Merah, Hijau, Perak

– hmetro

admin
admin

1 Comment

  1. ejoeSolutions Phablet LG Vu 3 lebih nipis » ejoeSolutions
    28/09/2013

    […] Vu 3, pesaing Galaxy Note 3 akhirnya secara rasmi diperkenalkan pada umum. Phablet itu memiliki skrin dengan rasio yang sama […]

Would you like to share your thoughts?

Your email address will not be published. Required fields are marked *