RESEARCH In Motion (RIM), pengeluar telefon pintar BlackBerry memperuntukkan RM317 juta bagi menggalakkan pembangunan aplikasi menyokong platform terbarunya, BlackBerry 10 yang dijangka boleh digunakan secara global tahun depan.
[adsenseyu6] | ![]() |
Langkah itu bertujuan menggalakkan lebih ramai pembangun aplikasi di serata dunia menyediakan pelbagai segmen aplikasi bagi platform BlackBerry 10 yang mana ketika ini terdapat 90,000 aplikasi digunakan pada rangkaian model BlackBerry sedia ada.
Platform Blackberry 10
Timbalan Presiden Hubungan Pembangunannya, Alec Saunders berkata, pihaknya mengenal pasti 19 negara di seluruh dunia yang bakal terbabit dengan pembangunan aplikasi bagi membina platform BlackBerry 10 antaranya Malaysia, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat dan Eropah.
“Bagi memenuhi kehendak perkembangan penggunaan aplikasi di serata dunia, kami menawarkan sehingga RM31,700 bagi setiap satu aplikasi yang dibangunkan pembangun aplikasi dan syarikat memfokuskan kepada segmen aplikasi konsumer.
“Sokongan daripada pembangun aplikasi penting bagi membolehkan syarikat meningkatkan perolehan penggunaan aplikasi BlackBerry yang kini menunjukkan peningkatan sehingga 226 peratus kepada tiga bilion pindah turun tahun ini berbanding tahun lalu,” katanya pada siri jelajah BlackBerry 10 Jam di Singapura, semalam.
Siri jelajah BlackBerry 10 Jam membabitkan beberapa negara seperti Singapura, Indonesia dan Eropah bagi memberi penerangan mengenai platform BlackBerry 10 kepada pembangun aplikasi.
Alec berkata, dalam siri jelajah itu, RIM menyerahkan 25,000 tablet BlackBerry secara percuma kepada pembangun aplikasi bagi memudahkan golongan berkenaan mencipta aplikasi yang bersesuaian dengan negara masing-masing.
“Sempena siri jelajah ini, kami juga menghasilkan telefon prototaip, Del Alpha bagi menguji platform baru ini dan sejumlah 12,000 unit diberi percuma kepada pembangun aplikasi terbabit.
“RIM menjangkakan satu model baru yang dilengkapi platform BlackBerry 10 dilancarkan pada suku pertama tahun depan. Antara ciri yang terdapat pada platform baru ini seperti papan kekunci pintar, sistem kamera pintar dan pelbagai fungsi,” katanya. -mymetro