KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berbelanja sebanyak RM1.8 bilion secara online bagi pembelian produk dan perkhidmatan sepanjang tahun lalu dengan perbelanjaan terbesar untuk percutian, membabitkan bayaran tiket penerbangan, pakej percutian dan pengangkutan berjumlah RM435 juta atau 24 peratus.

Klik untuk besarkan gambar
[adsenseyu6] beli belah melalui internet

Antara perbelanjaan besar lain ialah bayaran bil sebanyak RM329 juta atau 18 peratus; hiburan dan gaya hidup (RM255 juta, 14 peratus); peralatan elektronik dan teknologi maklumat (RM218 juta, 12 peratus), insurans (RM205 juta, 11 peratus), fesyen dan kecantikan (RM181 juta, 10 peratus) dan hadiah dan koleksi (RM68 juta atau empat peratus).

Beli-belah melalui internet lebih murah & mudah

Kajian menunjukkan rakyat Malaysia cenderung membeli-belah secara online kerana mahukan barangan berkualiti tinggi serta kepelbagaian, selain harganya yang murah dan jumlah perbelanjaan menerusi internet itu dijangka mencecah RM5 bilion menjelang 2015.

Maklumat pembelian secara online itu diperoleh hasil kaji selidik perkhidmatan pembayaran online, PayPal, pada Januari dan Februari lalu ke atas 400 pelanggan berusia 18 tahun ke atas untuk pembelian 2010.

Kaji selidik komprehensif yang julung kali diadakan syarikat itu di Malaysia bertujuan mengukur sikap dan tingkah laku masyarakat tempatan ketika membeli-belah secara online atau menerusi telefon bimbit.

Pengarah Urusan yang juga Pengurus Besar PayPal Asia Tenggara, India dan Korea, Elias Ghanem, berkata purata perbelanjaan yang dilakukan kira-kira 1.1 juta pelanggan online berusia 18 tahun ke atas pula adalah RM2,461 seorang, dan 70 peratus perbelanjaan online datang daripada kumpulan berpendapatan menengah dan ke atas.
“Untuk menarik pelanggan online dan menguasai pasaran membeli-belah online yang berkembang pesat, peniaga tempatan harus menggunakan pelbagai saluran dalam platform untuk menjual produk.

“Pasaran membeli-belah online berkembang pantas, dan pelanggan tempatan semakin mencari nilai terbaik dalam pembelian produk dan perkhidmatan menerusi laman web,” katanya ketika membentangkan hasil kaji selidik kepada media, di sini semalam.

Kaji selidik juga mendapati, 45 peratus daripada responden berbelanja online untuk produk yang ditawarkan laman web tempatan, 35 peratus berbelanja laman web luar negara, manakala baki 20 peratus tidak mengetahui dari mana asal perniagaan online dibelanjakan.

Elias berkata, faktor yang membuatkan pelanggan online memilih perniagaan online luar negara bukan hanya harga murah tapi kerana ketiadaan produk diinginkan itu di pasaran tempatan dan pilihan lebih meluas.

“Dari segi jaminan keselamatan pembelian, secara umumnya, empat daripada 10 pelanggan merasakan jaminan keselamatan penggunaan kad kredit atau kad debit secara online tidak mencukupi dan sebahagian besarnya mengakui mereka mengambil risiko setiap kali melakukan transaksi dengan kad secara online.

“Bagi pembelian menerusi telefon bimbit pula, sejumlah RM100 juta dibelanjakan kira-kira 254,000 pelanggan online yang menyumbang kira-kira enam peratus daripada nilai pasaran beli-belah online,” katanya.

admin
admin

Would you like to share your thoughts?

Your email address will not be published. Required fields are marked *