Kuala Lumpur: Gartner Inc, penyelidik pasaran industri teknologi maklumat (IT) mengunjurkan perbelanjaan IT di Malaysia tahun ini meningkat 6.4 peratus kepada RM61.9 bilion berbanding 2012. Unjuran itu meliputi perkhidmatan telekomunikasi (RM33.9 bilion), perkakasan (RM13.3 bilion), perkhidmatan IT (RM9.8 bilion), perisian (RM3.3 bilion) dan sistem pusat data (RM1.7 bilion).
[adsenseyu6] | ![]() |
Sementara di peringkat global, perbelanjaan IT tahun ini diunjurkan mencecah AS$3.7 trilion, meningkat dua peratus berbanding setahun lalu. Awal tahun ini, Gartner mengunjurkan pertumbuhan perbelanjaan IT dalam dolar Amerika Syarikat sebanyak 4.1 peratus.
Pengurangan 2.1 peratus mencerminkan impak susut nilai kadar tukaran mata wang dolar serta unjuran pertumbuhan mata wang sebanyak 3.5 peratus pada 2013 susut sedikit berbanding tahun lalu.
Naib Presiden Pengurusan Gartner, Richard Gordon berkata, pergerakan kadar tukaran asing dan pengurangan dalam unjuran 2013 bagi peranti, menyumbang sebahagian besar kepada semakan menurun itu. Beliau berkata, unjuran perbelanjaan peranti tahun ini disemak turun kepada 2.8 peratus berbanding unjuran sebelumnya sebanyak 7.9 peratus.
Jualan PC merosot
“Jualan komputer peribadi (PC) susut pada suku pertama dan suku kedua, namun pemulihan kecil dijangka berlaku pada separuh kedua tahun ini. “Namun, menerusi peranti baru yang dijangka memasuki pasaran pada separuh kedua, ia dijangka gagal menampung kelemahan asas pasaran PC tradisional,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.
Menurut unjuran Gartner baru-baru ini, perolehan daripada jualan tablet dijangka mencatat pertumbuhan 2.8 peratus manakala perolehan telefon mudah alih diunjur meningkat 7.4 peratus tahun ini. Kaedah unjuran perbelanjaan IT Gartner bergantung kepada analisis jualan oleh beribu-ribu vendor merentas pelbagai produk dan perkhidmatan IT. -BERNAMA