TELEKOM Malaysia Bhd (TM) menjalin pakatan strategik dengan Google, enjin carian paling popular dunia untuk menawarkan pemasaran online iaitu penyelesaian pemasaran kepada hampir 70,000 pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi pelanggan TM untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.
[adsenseyu6] | ![]() |
Naib Presiden Eksekutif (PKS) TM, Azizi A Hadi berkata menerusi kerjasama itu, TM menawarkan landasan pengiklanan carian Google dan perkhidmatan Google AdWords kepada pelanggannya yang terdiri daripada penggiat PKS.
Google Adwords percuma untuk pemasaran online
Melalui usaha sama setahun itu juga, pelanggan PKS pilihan TM akan menerima kupon pemasaran Google AdWords bernilai antara RM150 dan RM500 untuk memulakan kempen pemasaran online sebagai ganjaran terhadap kesetiaan mereka kepada TM.
“Kami tidak menjangkakan pendapatan atau memperbanyakkan pelanggan PKS TM menerusi usaha sama ini, sebaliknya ia sebahagian daripada program kesetiaan bagi membatu pelanggan PKS memasukkan iklan secara dalam talian.
“Setakat ini, kami mempunyai 50,000 pelanggan PKS ‘Office in a Box’ yang akan diberi keutamaan untuk ditampilkan dalam pengiklanan ini. Kami juga mempunyai 18,000 pelanggan PKS UniFi yang turut berpeluang menggunakan perkhidmatan pengiklanan terbabit,” katanya pada sidang media selepas majlis perjanjian usaha sama antara TM dan Google di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata, tahun ini, TM akan terus menumpukan usaha untuk mencari dan bekerjasama dengan rakan kongsi utama termasuk persatuan dan gabungan sektor PKS untuk meningkatkan capaian TM kepada komuniti itu.
“Kami sedar mengenai pentingnya sumbangan PKS kepada ekonomi negara. Dengan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sebanyak 37 peratus, sektor ini harus diberi perhatian bagi pembangunan ekonomi negara.
“Malah, sektor PKS menyumbang 25 peratus daripada pendapatan kumpulan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Perniagaan Google Malaysia, Sajith Sivananthan berkata, pihaknya komited untuk membantu menggalakkan pengembangan perniagaan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Terdapat potensi amat besar bagi sektor perniagaan di negara ini untuk berkembang di peringkat global menggunakan perkakasan dan penyelesaian pemasaran, capaian dan kepakaran ditawarkan Google,” katanya.