SINGAPURA – Warga Malaysia adalah yang paling aktif berinteraksi dalam media sosial dan dua kali lebih aktif daripada warga Amerika, demikian menurut hasil kaji selidik yang dikeluarkan oleh platform penglibatan sosial berasaskan lokasi, ‘Local Measure’.
[adsenseyu6] | ![]() |
Indeks Sosial ‘Starbucks’ Local Measure menganalisis perbualan dalam media sosial yang berlaku di 60 kedai Starbucks di seluruh Australia, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura, Malaysia dan Indonesia sejak 24 bulan lalu. Sepuluh kedai dari bandar-bandar utama di setiap negara dimasukkan dalam kaji selidik ini.
Dengan mengenal pasti data-data lokasi dalam kandungan sosial, Local Measure boleh mengenal pasti pandangan unik, imej yang dipaparkan oleh pelanggan dan komen tentang pengalaman mereka di Starbucks.
Indeks Sosial sulung itu dikendalikan oleh Local Measure berikutan peluasannya ke Asia baru-baru ini.
Indeks ini menunjukkan kepelbagaian maklumat yang boleh didapati oleh Local Measure bagi jenama-jenama melalui data-data sosial yang dipaparkan oleh pelanggan dengan menggunakan telefon pintar mereka.
Ia juga menunjukkan bagaimana syarikat seperti Starbucks boleh mendapat kelebihan daya saing dengan menganalisis perbualan ini dalam masa sebenar.
Warga Malaysia merupakan pelanggan Starbucks yang paling aktif berinteraksi dalam media sosial dengan mewujudkan sebanyak 209,200 paparan dan daftar masuk melalui Facebook, Twitter, Instagram dan Foursquare.
Warga Filipina menjana jumlah kandungan kedua terbesar dengan 188,200 paparan dan daftar masuk, manakala warga Indonesia di tempat ketiga dengan 134,000 paparan dan daftar masuk di sepuluh kedai itu.
Pengasas Local Measure, Jonathan Barouch, berkata kaji selidik itu menegaskan keperluan yang meningkat bagi perniagaan untuk mendapatkan data-data sosial masa sebenar daripada platform media sosial untuk mendapatkan gambaran dari premis perniagaan.
“Local Measure membolehkan perniagaan runcit mendapatkan semula perkhidmatan pelanggan peribadi yang kerap kali lenyap dalam transaksi perniagaan. Walaupun sesetengah pelanggan mungkin memberi komen kepada kawan-kawan atau rakan sekerja tentang kopi yang kurang enak atau perkhidmatan yang lemah, telefon pintar juga membolehkan pelanggan berkongsi pengalaman positif.
“Dengan Local Measure, perniagaan runcit kini boleh menggunakan maklum balas ini untuk menambah baik khidmat pelanggan dan membuat perubahan kepada produk atau perkhidmatan mereka sewajarnya,” katanya.
Selain itu, Local Measure membolehkan perniagaan runcit bukan sahaja membina hubungan baik dengan ‘pelanggan super’ mereka, iaitu pelanggan berulang, malah juga berkongsi pengalaman mereka dengan pengikut sosial mereka.
Local Measure membolehkan jenama-jenama mengenal pasti dan memberi ganjaran kepada pelanggan super mereka kerana langganan mereka, sekali gus menjalin hubungan yang lebih erat dengan mereka.
Sebahagian daripada dapatan utama daripada Indeks Sosial ‘Starbucks’ Local Measure yang khusus bagi Malaysia ialah ‘daftar masuk’ di Facebook atau Foursquare terbukti lebih popular daripada memasukkan paparan atau gambar terkini di kalangan pengguna di semua negara.
Hampir 93 peratus daripada kesemua paparan media sosial dalam dan tentang Starbucks di Malaysia ialah ‘daftar masuk’.
Daripada 60 kedai Starbucks, yang paling aktif dalam media sosial ialah di Berjaya Times Square yang mempunyai 3,391 paparan sosial dan lebih 27,594 daftar masuk dalam tempoh dua tahun.
Bulan yang paling sibuk bagi warga Malaysia ialah Mei 2013, dengan lebih 1,335 paparan sosial. Pelanggan super paling produktif telah ‘mengunjungi’ kedai Starbucks sebanyak 49 kali dan mempunyai 774 pengikut di Instagram. – Bernama