SYARIKAT peneraju pembayaran digital, PayPal mengutamakan ciri-ciri keselamatan kepada pelanggan yang menggunakan perkhidmatannya ketika membeli-belah di seluruh dunia, pada bila-bila masa.
[adsenseyu6] | ![]() |
Pengurus PayPal Malaysia dan Thailand, Audrey Ottevanger berkata, langkah itu memberikan peluang baik bagi pedagang bekerjasama dengan syarikat tersebut untuk mewujudkan kepercayaan pelanggan, sekali gus mengembangkan pasaran e-dagang di negara ini.
Katanya, ketika ini, PayPal menjadi pilihan tertinggi pengguna dalam senarai kaedah pembayaran dalam talian.
“Keselamatan merupakan keutamaan PayPal. Kami membenarkan pengguna membuat pembayaran dalam talian dengan lebih selamat dan tidak berkongsi maklumat kewangan pengguna bersama pedagang mahupun pihak ketiga.
“Melalui cara ini, PayPal membantu pengguna mengehadkan jejak digital mereka dan kesan maklumat peribadi yang ditinggalkan. Data pengguna disimpan dengan selamat dan PayPal menggunakan teknologi terkini mengesan penipuan,” katanya dalam sesi taklimat bersama media di Petaling Jaya, semalam.
Dalam pada itu, Ottevanger berkata, berdasarkan tinjauan dijalankan, sebanyak 73 peratus daripada 1,020 responden berusia antara 18 dan 45 tahun membeli-belah secara online sekurang-kurangnya sekali sebulan.
“Daripada jumlah responden terlibat, 11 peratus telah ditipu ketika membuat pembelian dalam talian. Selain itu, kebanyakan responden pernah mengalami situasi tidak menerima barang yang dibeli atau menerima item rosak selepas pembelian dalam talian,” katanya.
Bagi mengatasi masalah penipuan, Ottevanger berkata, PayPal mendidik pelanggannya menerusi panduan keselamatan yang diberikan di dalam laman sesawang PayPal.
“Kami juga ada polisi perlindungan pembeli PayPal yang membantu melindungi pembeli sekiranya mereka tidak menerima item dibeli menerusi laman web yang menerima perkhidmatan PayPal atau salah terima barang,” katanya. -sinarharian