Petaling Jaya: Paypal, syarikat pembayaran atas talian global, mengumumkan inisiatif terbaru iaitu polisi Perlindungan Peniaga di rantau Asia Pasifik bertujuan membantu melindungi peniaga daripada penipuan transaksi dan barang yang dihantar tidak diterima oleh pembeli, sekali gus membolehkan peniaga mencari peluang pertumbuhan dalam pasaran baru.
| [adsenseyu6] | ![]() |
Naib Presiden Perkhidmatan Peniaga Asia Pasifiknya, Lawrence Chan (gambar) berkata, polisi terbabit layak digunakan untuk peniaga yang menggunakan Paypal untuk memproses transaksi bagi barangan ketara saja di beberapa negara sekitar Asia Pasifik seperti Australia, New Zealand, China dan Malaysia.
Kurangkan penipuan online
“Melalui pengenalan polisi ini, Paypal dijangka dapat mengurangkan liabiliti penipuan daripada berjuta-juta peniaga yang memenuhi ruang ekonomi di Asia Pasifik dan menangani persepsi negatif berkaitan jualan melalui medium atas talian,” katanya pada taklimat media mengenai polisi Perlindungan Peniaga, di sini.
Program yang akan dilancarkan pada 11 Oktober ini menyaksikan peniaga atas talian mendapat manfaat tanpa dikenakan kos tambahan dan ia tidak memerlukan langganan, namun dengan syarat memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Lawrence yang juga Pengurus Besar Asia Tenggara Paypal berkata, syarikatnya memahami kesukaran dihadapi peniaga terutama apabila melakukan jualan merentasi sempadan. Jalinan kerjasama dengan golongan itu dapat membantu mereka dalam melakukan amalan terbaik bagi setiap peringkat kitaran jualan termasuk perkhidmatan pelanggan, penghantaran dan penyemakan.
“Hari ini, Paypal menambah satu lagi lapisan keselamatan untuk membantu peniaga mengurangkan risiko dan meningkatkan jualan,” katanya. Perlindungan Peniaga Paypal memudahkan perniagaan untuk mengurangkan potensi risiko dan tidak memerlukan tambahan kod mandatori yang mengganggu jualan semasa penyemakan.
Sehingga kini, Paypal adalah satu-satunya syarikat yang menawarkan perlindungan komprehensif kepada pembeli dan peniaga di Asia Pasifik -mymetro
