KOTA BHARU – Mereka yang belum berpeluang menyaksikan pameran yang ada di muzium Kelantan Trade Centre (KTC) semasa Ekspo Cheng Ho masih berkesempatan untuk mengunjunginya.
Eksekutif Komunikasi Korporat Ekspo Cheng Ho, Abdullah Suhaimi M. Yassin, berkata, pameran di muzium di tingkat empat KTC berkenaan dilanjutkan bermula sebulan sehingga 21 Disember nanti berikutan permintaan tinggi daripada pengunjung.
“Pameran ini akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri sepanjang tempoh sebulan ia dilanjutkan bagi memberi peluang kepada orang ramai yang belum menyaksikan keunikan pameran ini.
“Selain itu, pameran di muzium KTC ini akan dikendalikan oleh petugas khas yang dilantik Kerajaan negeri bagi melicinkan perjalanan pameran dan pengunjung dialu-alukan mendapat manfaatnya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Beliau berkata, usaha memanjangkan tempoh pameran berkenaan dijalankan memandangkan pameran di muzium itu mempunyai nilai dan aspek keagamaan yang mempamerkan al-Quran terpanjang di dunia.
Menurutnya, al-Quran sepanjang 209 meter dan 1.15 meter lebar dipamerkan buat pertama kali kepada orang ramai setelah disiapkan dalam masa dua tahun dengan menggunakan kudrat 80 pekerja mampu menarik orang ramai mempelajari kesenian dan sejarah pembuatannya.
“Selain itu, apa yang menarik pada muzium ini al-Quran bertatahkan emas yang mana al-Quran ini bersalut emas berusia lebih 500 tahun dari zaman Umaiyyah kemudian dibawa ke China melalui Turkestan dan ke Yunan,” katanya.
Abdullah Suhaimi berkata, anggaran keseluruhan pengunjung selama enam hari Ekspo Cheng Ho dijalankan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV dan KTC sejak Ahad lalu dianggarkan 700,000.
“Dalam tiga hari terakhir didapati pengunjung membanjiri stadium bagi menyaksikan persembahan akrobatik Adili yang berjalan di atas tali dan Kung Fu Shaolin, juga paling menarik ramai membanjiri pavilion.
“Kami berpuas hati memandangkan ramai di kalangan peniaga apabila ditanya menyatakan rasa gembira setelah barangan dijual melebihi sasaran jualan,” katanya.
Katanya, pameran berkenaan boleh dikunjungi orang ramai pada waktu siang sahaja di tingkat empat KTC sehingga 21 Disember ini dengan merancang perjalanan cuti sekolah ke pameran yang mendatangkan banyak manfaat.