PAMERAN ICT terbesar Malaysia, Digital Lifestyle Malaysia (DLM) 2013 yang dianjurkan buat pertama kali tahun ini menyasarkan untuk menerima kunjungan 200,000 pengunjung pada 23 hingga 25 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
[adsenseyu6] | ![]() |
Pameran itu dianjurkan dengan kerjasama di antara Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (Pikom), Commtechasia Sdn Bhd dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Ketua Pegawai Kawal Selia Industri SKMM, Toh Swee Hoe berkata, pameran itu terbuka kepada semua sama ada golongan usahawan, korporat dan orang awam.
“Buat masa ini, pameran itu akan diadakan di Kuala Lumpur dahulu sebelum ke kawasan bandar utama yang lain di seluruh negara pada masa akan datang,“ katanya.
Menurutnya, tujuan utama pameran itu adalah bagi memberikan kesedaran dan pengajaran kepada masyarakat berhubung aplikasi dan perkhidmatan digital untuk kegunaan kehidupan harian.
Katanya, tumpuan utama pameran itu akan menekankan kepada e-Kesihatan, e-Pengangkutan, e-Runcit, e-Pembayaran, Kerajaan Elektronik, Kandungan kreatif, u-Pustaka dan Teknologi Hijau.
Sementara itu, Pengarah Commtechasia, Kashminder Singh berkata, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) turut hadir menunjukkan kejayaan beberapa aplikasi dibangunkan pemaju tempatan yang berjaya di luar negara antaranya permainan video, restoran dan pelaburan halal.
Katanya, setakat ini, MDeC telah berjaya membantu membangunkan 300 pemaju aplikasi tempatan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pikom, Shaifubahrim Saleh berkata, kematangan pengguna ICT di Malaysia kini semakin maju. DLM adalah satu platform yang sesuai bagi memberikan pendedahan ICT kepada masyarakat untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.
“Ia turut membuka peluang kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berminat untuk menjadi pemaju aplikasi untuk menghadiri program seumpama ini,” katanya.
Sepanjang pameran, pengunjung berpeluang hadiri ceramah ICT, nasihat daripada pakar teknologi berhubung antivirus, produk terbaru daripada jenama-jenama terkemuka juga kuiz untuk berpeluang memenangi 100 buah netbook dan cabutan bertuah 10 basikal serta dua vespa.