PENYEDIA perkhidmatan WiMAX, Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1) menyasar untuk memiliki sehingga 2,500 stesen pangkalan menjelang akhir tahun depan bagi menampung 65 peratus liputan jalur lebar di negara ini.
[adsenseyu6] | ![]() |
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Green Packet Berhad, CC Puan, berkata stesen baru terbabit mampu menampung perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) dan teknologi evolusi jangka panjang (LTE).
“Selepas menandatangani perjanjian dengan TM berkaitan HSBB, kami akan memperkenalkan pelan jalur lebar melalui HSBB tahun depan selain menumpukan kepada pembangunan LTE yang dijangka digunakan pada 2013,” kata Puan.
P1 adalah anak syarikat Green Packet Berhad yang menawarkan perkhidmatan rangkaian 4G dengan jumlah 356 ribu pelanggan hingga kini. Beliau berkata, syarikatnya kini berusaha menyiapkan 400 stesen pangkalan baru menjelang akhir tahun ini yang dianggarkan bernilai RM100 juta bagi memantapkan liputan seluruh negara.
“Jumlah 1,600 stesen pangkalan terbabit dijangka memberi 70 peratus liputan di Lembah Klang serta 55 peratus di Sabah dan Sarawak,” katanya selepas mengumumkan prestasi kewangan kumpulan di Petaling Jaya, semalam. Turut dihadiri Ketua Eksekutif P1, Micheal Lai.
Green Packet Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan 31 peratus dalam tempoh setahun kepada RM134 juta pada suku ketiga tahun ini berbanding RM101 juta tahun lalu. -hmetro