PACKET One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1) menyasar untuk mencapai 500,000 pelanggan bagi perkhidmatan 4Gnya tahun ini menerusi peluasan liputan yang berterusan oleh syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Lai berkata, tahun ini bakal menjadi tahun pelancaran liputan besar-besaran bagi P1 berikutan sambutan yang memberangsangkan terhadap perkhidmatan 4G P1.
“2012 bakal menjadi tahun bersejarah bagi P1. Kami berjaya meraih asas pelanggan yang kukuh dan semakin meningkat dengan lebih 356,000 pengguna di Malaysia pada suku ketiga 2011,” katanya dalam satu kenyataan.
Lai berkata, tahun lalu syarikat itu memperluas liputannya dengan pesat melalui pertambahan lebih 650 tapak liputan rangkaian kepada 1,500 tapak kesemuanya sehingga sekarang.
Beliau berkata, ia menunjukkan P1 kini sudah meliputi 50 peratus penduduk dan sasaran syarikatnya adalah untuk menambah liputan kepada 65 peratus di seluruh Semenanjung Malaysia.
Setakat ini, P1 sudah membelanjakan kira-kira RM700 juta sebagai modal bagi pelancaran perkhidmatan 4Gnya dan pihaknya akan terus memperluaskan sasaran liputan 4G P1.
“Tindakan cekap dan cepat rangkaian 4G P1 adalah penting bagi menunjukkan komitmen kami. Tahun ini, kami menyasar meningkatkan liputan kepada 65 peratus di Semenanjung Malaysia,” katanya. -hmetro