KUALA KRAI – Bapa seorang penerima netbook percuma di bawah Program Pemberian Netbook 1Malaysia meminta penjelasan pihak berkenaan mengenai caj internet yang terpaksa dibayar biarpun anaknya tidak melanggan perkhidmatan itu.
[adsenseyu6] |
Bapa terbabit yang enggan dikenali berkata, caj Yuran Langganan Streamyx sebanyak RM25 pada bil terbarunya yang dikenakan sebuah syarikat telekomunikasi itu amat mengelirukan kerana netbook anaknya tidak ada kemudahan tersebut.
Justeru, katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selaku agensi pelaksana program dan syarikat telekomunikasi terbabit perlu membuat penjelasan mengenai caj itu.
Caj internet dikenakan
“Sejak anak saya terima netbook November tahun lalu, kami tidak pernah langgan atau guna perkhidmatan internet tetapi pada bil terbaru itu siap tertera nombor akaun Streamyx.
“Bagi saya yang berpendapatan rendah, yuran ini amat membebankan, apatah lagi perkhidmatan dikenakan caj itu kami tidak guna,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, sebelum dikenakan caj terbaru itu, anaknya sebagai penerima dikenakan bayaran RM11.20 setiap bulan selama enam bulan selepas mendapat netbook berkenaan.
“Caj (RM11.20) itu saya masih boleh terima tetapi bila dikenakan caj terbaru (RM25) ini, saya rasa seolah-olah netbook ini sebenarnya bukan diberikan percuma oleh kerajaan tetapi kena bayar, cuma tidak dinyatakan dengan jelas.
“Kalau betul caj terbaru ini sebagai bayaran netbook, saya minta syarikat telekomunikasi terbabit tukar penyata bil daripada yuran langganan streamyx kepada caj tunggakan netbook supaya ibu bapa tidak keliru,” katanya.
Untuk rekod, kerajaan memperuntukkan sebanyak 40,000 netbook untuk diagihkan secara percuma kepada pelajar di negeri ini di bawah Program Pemberian Netbook 1Malaysia.
Pengagihan secara berperingkat itu selaras matlamat kerajaan untuk mencapai 27 peratus penembusan jalur lebar dalam kalangan isi rumah terutama golongan kurang berkemampuan di seluruh Kelantan menjelang hujung tahun ini. -sinar harian