JENAMA Xiaomi, dalam memasarkan peranti telefon pintar mereka turut hadir dengan peranti pengecas kuasa Mi Power Bank dengan kapasiti 10400mAh yang dijual pada harga RM36.
[adsenseyu6] |
Rekabentuk & Spesifikasi
Rekaan Mi Power Bank boleh dikatakan agak premium kerana ia hadir dengan kemasan aluminium pada badan peranti ini. Ianya seberat 250 gram dengan ketebalan kurang daripada satu inci. Ia agak kecil jika ingin dibandingkan dengan peranti pengecas lain yang mempunyai kapasiti pengecasan yang sama.
Turut disertakan ialah kabel Micro-USB dengan setiap unit. Ia dilengkapi empat lampu LED yang memberikan indikasi berkenaan kapasiti pengecasan yang tersedia di dalam peranti ini. Setiap LED mewakili 25 peratus kuasa pengecasan.
Boleh dikatakan keseluruhan rekaan peranti ini mempunyai tema seakan-akan Apple dan tidak mustahil sekiranya Apple mempunyai iPowerBank, maka Mi Power Bank boleh dikatakan mempunyai ciri-ciri tersebut.
Penggunaan
Menurut pengalaman penulis, berbanding dengan kebanyakan peranti pengecas kuasa yang ada di pasaran dan menawarkan sehingga 80 -100 peratus kuasa, peranti ini pula hanya mempunyai 25 peratus apabila penulis mula menggunakannya untuk kali pertama.
Perkara ini dibuktikan apabila peranti ini yang baharu digunakan boleh mengecas penuh iPhone 5 (kapasiti bateri 1440 mAh) sebanyak dua kali sebelum peranti pengecas kehabisan kuasa pada percubaan pengecasan kali ketiga. Mi Power Bank juga memerlukan 5 hingga 6 jam untuk pengecasan penuh.
Melalui ujian ringkas, dengan menggunakan peranti ini, ia boleh mengecas iPhone 5 sebanyak 5 kali. Sekiranya dikira, jumlah tenaga digunakan sebanyak 7200 mAh namun oleh kerana semasa dua kali pengecasan tersebut terdapat aktiviti Waze yang beroperasi selama 4 jam, ia mungkin sesuatu yang turut memberi kesan kepada pengecasan. Menurut laman web rasmi, peranti ini boleh mengecas iPhone 5S sebanyak 4.5 kali. Boleh dikatakan dari hasil ujian ringkas, ia agak konsisten.
Harga RM 36. Gimik atau Betul?
Xiaomi memasarkan peranti ini pada harga RM36. Kita sudah terbiasa dengan peribahasa ‘alah membeli, menang memakai’ dengan kita mungkin menyangkakan hanya barang-barang yang mahal berkualiti dan bagus untuk digunakan.
Xiaomi cuba mengubah tanggapan tersebut dengan menyediakan peranti berkualiti pada harga murah kerana mereka boleh menyasarkan kesemua unit habis dijual.
Xiaomi juga mampu menjualnya pada harga sebegini kerana mereka menjual kesemua peranti melalui kedai dalam talian mereka pada masa singkat jadi mengurangkan kos-kos pengedaran dan kos gudang.
Pada harga RM36, ia sememangnya dijual pada harga yang sangat menggiurkan menyebabkan Mi Power Bank habis dijual dalam masa 1 minit dan 2 saat pada fasa kedua penjualannya.
Untuk mereka yang tidak biasa dengan Xiaomi, mereka sentiasa menjual peranti dengan kuantiti yang terhad jadi sekiranya anda melawat laman web mereka pada masa biasa, ia akan memaparkan ketiadaan stok.
Berkenaan proses pembeliannya, ia perlu dilakukan dengan pantas. Malah unit yang dibeli kami ini dibeli pada hari kedua selepas penjualan fasa pertama (20 Mei 2014).
Ini kerana selepas 24 jam, pembelian yang gagal dilengkapkan pada hari sebelumnya akan dijual semula pada masa yang sangat terhad. Untuk penjualan fasa ketiga, Xiaomi turut hadir dengan pilihan dengan kapasiti 5200 mAh pada harga RM25 yang ditawarkan pada 10 Jun 2014.
Pro
– Harga yang sangat murah jika dibandingkan dengan kuasa yang diberikan.
– Kemasan yang tampak premium dan kualiti binaan yang kukuh.
Kontra
– 25 peratus kuasa tersedia pada kali pertama penggunaan. Agak rendah berbanding kebiasaan peranti pengecas yang lain.
– Kabel Micro-USB yang pendek. -sinarharian