MULTIMEDIA Development Corporation (MDeC) mengunjurkan kemasukan pelaburan bernilai lebih RM1 bilion daripada pelabur luar dan tempatan ke dalam Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC Malaysia) tahun ini.
![]() |
[adsenseyu7] |
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, pihaknya bagaimanapun hanya menyasar pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi yang mampu memberikan purata gaji sekurang-kurangnya RM4,400 kepada kakitangan syarikat masing-masing.
Bagaimanapun beliau menegaskan jumlah pelaburan ke dalam MSC bagi 2011 hanya akan dimaklumkan pada majlis berasingan dalam masa terdekat.
MDec sasar pelaburan berkualiti
“MDeC hanya ingin membawa masuk pelaburan berkualiti dan untuk itu, kami membuat saringan ketat kepada syarikat atau pemohon. Kami tak mahu mereka hanya tawarkan gaji purata sekitar RM1,500 saja, sebaliknya mampu menawarkan purata RM4,400.
“Pelaburan yang disasarkan ialah pada kadar nisbah kira-kira 60 peratus bagi pelabur luar negara dan 40 peratus pelabur tempatan,” katanya selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Media Mobile Monday Malaysia dan GTower, perjanjian pertama seumpamanya di dunia untuk membawa komuniti mudah alih tempatan bersama-sama berbincang setiap Isnin pertama setiap bulan di Kuala Lumpur, semalam.
Mengulas MoU itu, Badlisham berkata, ia boleh dijadikan landasan kepada pembangun aplikasi yang tidak mempunyai ruang dan peluang untuk mengenengahkan idea mereka kepada pemain industri mudahalih secara terus pada majlis yang diadakan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya menjangkakan peruntukan dana sebanyak RM5 juta menerusi pemberian geran bagi Program Pembangunan Isi Kandungan Bersepadu MSC Malaysia Kedua (Icon2) akan dilangsaikan pertengahan tahun ini.
“Kami sudah mengeluarkan geran kepada 200 pemohon. Untuk Icon2, kami menekankan usahawan membangunkan aplikasi organisasi dan pendidikan, tidak lagi kepada pembangunan permainan atau hiburan saja,” katanya.