Kuala Lumpur: Malayan Banking Berhad (Maybank) memperuntukkan kira-kira RM100 juta untuk meningkatkan kemudahan IT (teknologi maklumat) membabitkan cawangannya di empat buah negara di rantau ini meliputi Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina dalam tempoh 45 bulan akan datang.
[adsenseyu6] | ![]() |
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Bahagian Kad dan Kekayaan, B Ravintharan berkata, pelaburan itu bertujuan mewujudkan sistem bersepadu di antara negara terbabit dan memudahkan setiap pelanggan untuk melakukan aktiviti pembayaran kad secara dalam talian. Beliau berkata, infrastruktur IT yang diperbaharui itu nanti akan membolehkan cawangan Maybank di tiga negara terbabit lebih mudah untuk menawarkan perkhidmatan sama seperti di Malaysia tanpa perlu bermula daripada peringkat awal.
“Kami percaya langkah ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan segmen kad debit dan kredit Maybank di rantau Asia Tenggara pada masa akan datang,” katanya pada majlis pelancaran Maybank TreatsFair di sini, semalam. Pameran yang memasuki penganjuran kali kesembilan itu adalah acara utama bagi pemegang kad di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina menebus mata ganjaran yang dikumpul dengan pelbagai barangan dan perkhidmatan.
Beliau berkata, Maybank optimis mampu mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 20 peratus kepada RM24 juta bagi tahun ini berbanding RM20 juta tahun lalu. “Keyakinan ini dipacu berdasarkan sambutan yang diterima pada tahun lalu di mana pameran terbabit berjaya menarik lebih 230,000 pengunjung dengan penebusan 1.5 bilion mata ganjaran.
Untuk tahun ini, kami menjangkakan bilangan pengunjung ke pameran itu akan mencecah seramai 250,000 dengan penebusan mata ganjaran meningkat kepada dua bilion,” katanya.