RANGKAIAN sosial perniagaan LinkedIn dan perkhidmatan mencari jodoh dalam talian eHarmony berkata, kata laluan sesetengah penggunanya dicuri dan berjuta yang lain diedarkan ke dalam internet.
[adsenseyu6] | ![]() |
LinkedIn Corp tidak menyatakan berapa banyak daripada lebih enam juta kata laluan yang diedarkan dalam talian adalah daripada akaun LinkedIn.
Syarikat itu dalam blognya berkata, ia akan terus menyiasat perkara itu.
Ubah kata laluan LinkedIn
Graham Cluley, perunding di Sophos, syarikat keselamatan web berpangkalan di United Kingdom, mencadangkan pengguna LinkedIn mengubah kata laluan masing-masing dengan segera.
LinkedIn mempunyai banyak maklumat pada lebih 160 juta ahlinya, termasuk maklumat sulit berkaitan pekerjaan.
Syarikat, perkhidmatan mengambil pekerja dan ramai lagi mempunyai akaun LinkedIn, dan ramai individu menghantar résumé dan maklumat profesional lain menerusinya.
eHarmony pula berkata, kata laluan sebilangan kecil penggunanya dicurigai turut terbabit.
Laman itu, yang mendakwa memiliki lebih 20 juta pengguna dalam talian berdaftar juga tidak menyatakan berapa ramai daripada pelanggannya terbabit.
Laman berita teknologi Ars Technica berkata, ia menjumpai kira-kira 1.5 juta kata laluan dibocorkan ke dalam Internet yang kelihatannya adalah pengguna eHarmony.
Penyedia perkhidmatan mencari jodoh itu dalam blognya berkata, tindakan segera sudah diambil dan akan menghantar emel kepada pelanggan terbabit mengarahkan bagaimana untuk mendapatkan kata laluan baru. – AP