PENGELUAR komputer peribadi (PC), Lenovo berhasrat memperkukuhkan kedudukannya sebagai pengedar komputer utama di negara ini menerusi pengenalan lebih banyak produk baru di pasaran tempatan dalam tempoh lima tahun.
Syarikat itu ketika ini menduduki tempat kedua daripada penguasaan pasaran di dunia meskipun berada dalam kedudukan teratas untuk dua segmen iaitu notebook komersial dan desktop semua dalam satu (AIO) di peringkat global.
Lenovo adalah pengeluar kedua PC terbesar dunia dengan menguasai 14 peratus pasaran di belakang Hewlett Packard (HP) yang memiliki 16.3 peratus pasaran keseluruhan PC.
Pengurus Negara Lenovo Malaysia, Khoo Hung Chuan berkata, syarikatnya akan mengeluarkan produk berinovasi tinggi yang mampu memberi masa depan lebih baik kepada pengguna.
“Kami mahu memperbaiki kedudukan sebagai peneraju pasaran komputer di negara ini dengan memperkenalkan lebih banyak model baru tahun ini dan berikutnya selari dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai jumlah PC yang bakal diperkenalkan Lenovo tahun ini.
“Kami mahu memastikan produk yang ditawarkan bersesuaian dengan kehendak pengguna, namun pada masa sama mementingkan teknologi tinggi,” katanya selepas majlis makan tengah hari sempena Tahun Baru Cina 2012 di Kuala Lumpur, semalam.
Bersempena dengan majlis itu, Lenovo turut memperkenalkan beberapa produk baru daripada segmen notebook, desktop dan tablet yang bakal dipasarkan sepanjang tahun.
Ia termasuk produk AIO IdeaCentre B520, B320 dan C320 pada harga dari RM1,799 dan RM4,199 manakala dua tabletnya, IdeaPad Tablet A1 dan ThinkPad Tablet dijual pada harga RM799 dan RM2,199.
Sementara itu, produk ultrabook Lenovo iaitu IdeaPad U300s dan U300e dipasarkan pada harga RM3,399 dan RM2,899. -hmetro
